Zuraida berazam pertahan Parlimen Ampang dalam PRU15

Menjadi ahli Parlimen Ampang selama tiga penggal, iaitu sejak 2008 ketika masih bersama PKR, Zuraida Kamaruddin sekali lagi menawarkan diri untuk mempertahankan kerusi tersebut pada PRU15 dengan tiket Bersatu.

Zuraida berkata dia sedia bertanding lagi di situ sekiranya parti barunya itu memberi lampu hijau kepadanya.

Bersama sepuluh ahli Parlimen lain, dia keluar PKR pada Februari lalu, ketika Langkah Sheraton yang menyaksikan tumbangnya kerajaan PH.

Pada masa itu, mereka bersama-sama Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin dan pembangkang lain ketika itu membentuk pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Sedar bahawa dia menjadi sasaran musuh politik susulan langkah itu, Zuraida berkata ia sama sekali tidak mematah semangatnya.

“Kalau lagi disasar, lagi kita tunggu untuk pertahankan kerusi ini.

“Insya-Allah, kalau parti tidak ada halangan, saya menawarkan diri lagi sekali untuk bertanding di Ampang untuk kekalkan kerusi (tetapi) terpulang kepada kepimpinan Bersatu dan PN,” katanya kepada Malaysiakini dalam sidang media di Ampang, hari ini.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), menambah bahawa jentera pilihan rayanya telah bersiap sedia menghadapi PRU akan datang.

Pada PRU14, dia mengalahkan calon BN dari MCA, Leong Kim Soon dengan majoriti 41,956 undi.

Untuk rekod, Muhyiddin sebelum ini berkata PRU akan diadakan selepas wabak Covid-19 berakhir.

Hari ini Zuraida menyerahkan 8,000 borang keahlian Bersatu kepada Pengerusi Bersatu Selangor Abdul Rashid Asari.

Ditanya berkenaan perkara itu, Zuraida berkata kesemuanya adalah bekas ahli PKR.

Majlis penyerahan itu disaksikan NGO Penggerak Komuniti Negara (PKN) yang turut membantu mendapatkan ahli baru.

Menurut Rashid, setakat Oktober 2018, Bersatu Selangor mempunyai 55,000 dan jumlah itu dipercayai telah meningkat kepada 70,000 orang.

“Kita berharap sebelum PRU, dapat keahlian ke 200,000,” katanya.

Dia berkata sasaran itu boleh dicapai dengan tempoh yang singkat dengan bantuan PKN.

“PKN telah tunjukkan sikap yang begitu jujur, ikhlas untuk bersama kita. Proses integrasi yang sedang berjalan pada masa ini kita akan teruskan,” katanya lagi.

Sementara itu, Zuraida berkata sasaran itu sudah pun dicapai dengan kebanyakannya daripada PKN, tetapi masa diperlukan untuk melengkapkan dan menyerahkan borang.

Ditanya jika hasratnya untuk kekal bertanding di Ampang akan dibantah Umno di situ, Zuraida yakin bahawa soal itu tidak timbul.

“Umno juga sebahagian daripada PN,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/555867

COMMENTS

Wordpress (0)