“Ziyad tak wajar diberi ganjaran”

“Ziyad tak wajar diberi ganjaran”.Cadangan pemberian ganjaran setimpal kepada atlet lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli yang pingat emas dimenanginya ditarik balik dalam acara Sukan Paralimpik Tokyo 2020, disifatkan sebagai “tidak wajar” dan beliau tetap dianggap “kegagalan”.

Menurut bekas ketua pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Zolkples Embong, ia boleh memberi kesan negatif pada masa depan sekiranya situasi sama menimpa atlet lain.

Sebaliknya beliau berkata, insiden malang yang dilalui Ziyad itu harus dijadikan pengajaran kepada semua pihak.

Katanya, sekiranya cadangan itu diterima, ia semestinya akan menidakkan syarat termaktub dalam pemberian ganjaran Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) Majlis Sukan Negara (MSN).

“Secara asasnya, dia (Ziyad) dikatakan ‘Did Not Start’ walaupun mengambil bahagian dalam (status) protes dan segalanya. Pada akhirnya, kejayaan dia ditarik dan dia tidak berjaya, gagal. Jadi bagaimana kita ingin menafikan kegagalan itu?

“Di sini ada yang ingin mengambil kesempatan. Ada yang ingin ‘menangguk di air keruh’, kononnya ingin menunjukkan simpati. Saya pun turut bersimpati. Jika ingin diambil kira nilai sentimental, saya adalah orangnya kerana mula membawa Ziyad ketika masih ketua pengarah MSN.

Ziyad

“Kejayaan Ziyad bermula di London 2012 ketika saya menjadi ketua kontinjen dan dia memenangi pingat gangsa,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Media melaporkan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri mengenai ganjaran setimpal kepada Ziyad bagi menghargai pencapaiannya di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Menterinya Ahmad Faizal Azumu berkata, ia tidak pernah difikirkan ketika dasar pemberian ganjaran kepada atlet yang meraih kejayaan pada temasya sukan dibuat.

Sebelum ini, bekas menteri Reezal Merican Naina Merican, turut menyokong usaha itu dengan berkata, lontaran Ziyad berjaya memecahkan rekod dunia yang dipegangnya sendiri ketika di Rio dan pencapaian itu wajar dirai.

Selain itu Zolkples berkata, ganjaran seperti itu sebaiknya dimanfaatkan untuk kegunaan lain seperti membantu rakyat yang terjejas akibat Covid-19.

“Jika mereka yang membuat cadangan itu ingin menggunakan wang sendiri, itu cerita lain. Tetapi jangan gunakan wang SHAKAM kerana tidak ada peruntukan yang membenarkan Ziyad menerima imbuhan ini.

“Apa yang penting, jangan mulakan pemberian ini kerana jika ada kes serupa, keadaan akan menjadi haru-biru. Seperti saya katakan, peraturan yang dibuat untuk dipatuhi, bukan dilanggar.

“Dalam mana-mana pertandingan juga terdapat prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diikuti, jika salah, kita terima sahajalah, ‘move on’.

“Lagipun Ziyad telah menerima banyak insentif sebelum ini termasuk skim persaraan. Skim ini hanya diberi sekali seumur hidup dan dia menerimanya sejak 2016 lagi,” katanya.

Pada temasya Sukan Paralimpik Paralimpik Rio 2016, Ziyad bersama Abdul Latif Romly dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi yang memenangi pingat emas menerima ganjaran RM1 juta di bawah SHAKAM, unit suite kediaman di Trion 888, Equine Park dan kereta Kia Sportage baharu sumbangan Naza Corporation Holdings.

Malah di bawah Skim Imbuhan Tetap Olimpik (SITO), ketiga-tiga atlet itu mendapat RM5,000 setiap sebulan sepanjang hayat bermula sejak mereka memenangi emas bulan Jun lalu.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/07/tak-wajar-beri-ganjaran-kepada-ziyad-kata-bekas-kp-msn/

BACA: Panas !!! Anwar didakwa sudah 4 bulan dimaklum konflik PKR di Negeri Sembilan