Zahid tuntut tempoh darurat dipendekkan

Zahid tuntut tempoh darurat dipendekkan

Barisan Nasional (BN) menuntut agar tempoh darurat dipendekkan bagi membolehkan demokrasi negara berjalan lebih baik.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bagi membolehkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Kita menuntut darurat yang sudah diproklamasikan dipendekkan. Kita mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong, tetapi atas nama demokrasi, kita harus melihat kesan dan momokan negara luar terhadap sistem demokrasi dan darurat di Malaysia.

“Kita memahami bahawa tujuan untuk mengisytiharkan darurat biarpun di atas kertas mahu melihat supaya COVID-19 diatasi, tetapi jika pasar malam boleh dibuka, mall boleh dibuka, maka sidang Parlimen dan DUN, juga boleh diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan secara dalam talian sempena Perhimpunan Agung MIC ke-74 di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh menggesa kerajaan supaya melaksanakan undi 18 dan undi secara automatik mengikut tarikh yang dipersetujui sebelum ini.
“Ini mesti dilaksana mengikut persetujuan yang sudah dibuat dalam Dewan Rakyat dan juga dibawa ke Dewan Negara.

“Tentulah keputusan itu dibuat selepas meneliti daripada pelbagai aspek perundangan dan politik. Namun apabila mereka yang berusia 18 tahun ke atas hanya didaftarkan pada September 2022, ini adalah sesuatu yang di luar persetujuan yang telah dibuat,” ujarnya.

Justeru beliau meminta kerajaan supaya tidak menggunakan alasan pandemik COVID-19 untuk mematikan demokrasi di Malaysia.

“Cari kaedah terbaik supaya mereka yang berumur 18 tahun dapat diberikan hak mengundi.

“Jangan khuatir bahawa mereka akan mengundi kerajaan yang ada atau pihak lain, kita mesti berikan hak kepada pengundi muda,” katanya lagi.

Media sebelum ini melaporkan, pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata pihaknya harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.

Berita Penuh :https://www.astroawani.com/berita-malaysia/bn-tuntut-tempoh-darurat-dipendekkan-ahmad-zahid-291505