Zahid Mat Arip jenis tak ada prinsip, suka lompat parti – Isa Samad

Zahid Mat Arip jenis tak ada prinsip, suka lompat parti – Isa Samad

Bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad mendedahkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini perangai bekas pegawai khas politiknya, Muhammad Zahid Md Arip yang berkhidmat dengannya selama enam tahun sejak 2011.

Isa berkata Muhammad Zahid seorang yang suka ‘lompat-lompat parti’ dan mengaitkan orang lain untuk melepaskan ‘tengkuknya’.

“Dia memang suka dari satu tempat ke tempat lain (lompat parti), Umno ke PKR, masuk PKR bantai Anwar (Anwar Ibrahim) dan Azmin (Mohamed Azmin Ali)…Lepas itu masuk semula ke Umno dan sokong Najib (Najib Razak).

“Lepas itu, bila Najib tidak lantiknya sebagai setiausaha politik, akhirnya dia ikut Tun (Dr Mahathir Mohamad)…PH menang dia dapat jadi setiausaha politik Tun,” kata Mohd Isa ketika pemeriksaan semula oleh peguamnya Salehuddin Saidin pada hari kedua prosiding bela diri berhubung sembilan pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

Tambahnya, selepas ‘Langkah Sheraton’ Muhammad Zahid tidak lagi bersama Dr Mahathir dan kini dia menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Mahathir ada keluarkan kenyataan mengenai setiausaha politiknya yang ada masalah dengan mahkamah. Dia (Muhammad Zahid) minta Mahathir suruh tahan mahkamah daripada bicara kes dia. Walaupun ketika itu dia belum didakwa.

“Dia (Muhammad Zahid) memang tidak mempunyai prinsip yang tetap,” kata Mohd Isa.

Ditanya Salehuddin adakah tindakan Muhammad Zahid mengaitkan namanya di dalam kes ini adalah untuk melepaskan tengkuknya, Mohd Isa menjawab: “Itulah tujuan dia.”

Mohd Isa juga bersetuju dengan peguamnya mengenai keterangannya (berhubung diganggu hantu) apa yang berlaku ke atas Muhammad Zahid adalah perkara benar.

Pada hari pertama prosiding pembelaan, Mohd Isa memberitahu mahkamah bahawa Muhammad Zahid terlalu tertekan kerana diganggu ‘hantu’ di sel tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan terpaksa mengaitkannya dalam tuduhan rasuah itu bagi melepaskan dirinya.

Bekas pengerusi Felda itu juga bersetuju dengan peguamnya bahawa sepanjang perbicaraan hanya Muhammad Zahid yang memberi keterangan bahawa dia (Mohd Isa) menerima wang tersebut sedangkan saksi-saksi lain menyatakan wang itu diterima oleh Muhammad Zahid.

Mohd Isa berdepan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,090,000 daripada ahli lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, Ikhwan Zaidel menerusi Muhammad Zahid, sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada RM160 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung 3 September.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/539332