Yakinlah! Umno tetap Umno, kata Zahid

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, apa yang harus dilakukan sudah pun dilaksanakan, susulan pengumuman Istana Negara yang Naib Presiden parti itu, Ismail Sabri Yaakob dipilih sebagai perdana menteri kesembilan.

Katanya, sebagai presiden Umno, keutamaannya kini ialah masa depan parti dan beliau berjanji tidak akan sesekali membelakangi aspirasi parti serta akar umbi.

“Saya tahu wujud kerisauan dalam kalangan ahli Umno terhadap perkembangan politik semasa. Bagaimanapun, yakinlah Umno tetap Umno. Kepada seluruh ahli Umno, ini jaminan saya.

Yakinlah! Umno tetap Umno, kata Zahid

“Presiden Umno akan tetap bersama mempertahankan jati diri Umno, parti milik rakyat. Sama seperti yang saya lakukan sejak mengambil alih pucuk pimpinan parti selepas detik hitam 9 Mei 2018,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tumpuan Umno kini ialah mempersiapkan dan memperkasakan oarti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau juga berharap rakyat dan negara dapat dipulihkan daripada krisis Covid-19, dengan pelantikan perdana menteri kesembilan yang akan membentuk kerajaan baharu.

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin dilaporkan berkata, Ismail akan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 2.30 petang esok di Istana Negara.

Katanya, Ismail mendapat sokongan 114 Ahli Parlimen untuk jawatan nombor satu itu.

“Jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/20/zahid-janji-tak-belakangkan-aspirasi-parti-akar-umbi/

BACA JUGA : Zahid bersyukur diatas pelantikan Ismail Sabri PM ke-9