Waspada Dan Tenang – Mat Sabu

Waspada Dan Tenang – Mat Sabu

Menghadapi penularan wabak COVID-19 yang sedang melanda Malaysia dan dunia ketika ini, saya menyeru kepada ahli Amanah, penyokong Pakatan Harapan dan seluruh rakyat Malaysia untuk sentiasa mengikuti arahan yang telah ditetapkan pihak kerajaan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia.

Bersama-samalah kita menjaga kesihatan diri, keluarga dan masyarakat dengan mamatuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Saya juga ingin berpesan kepada mana-mana pasukan dan aktivis sukarelawan termasuk pasukan ARiF yang ingin berkhidmat kepada masyarakat agar terlebih dahulu mendapatkan kebenaran dari pihak berkuasa khususnya pihak Polis dan Kementerian Kesihatan.

Saat-saat genting ini memerlukan disiplin yang tinggi daripada seluruh rakyat untuk mengikuti arahan pihak berkuasa agar penularan wabak ini dapat disekat dengan segera.

Di pihak Amanah, Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad boleh dihubungi untuk mendapatkan maklumat, nasihat serta pandangan kesihatan berkaitan isu ini.

Saya berharap agar seluruh rakyat Malysia bertenang dan memastikan sebarang tindakan yabg dilakukan memberi manfaat kepada diri, keluarga dan masyarakat.

Pada masa yang sama, marilah kita mendekatkan diri kepada Allah SWT dan sentiasa berdoa agar Malaysia dapat menangani wabak ini dengan segera dan negara ini pulih seperti sedia kala.

MOHAMAD SABU
Presiden
Parti Amanah Negara

20 MAC 2020