Warisan tetap teguh pertahan mandat walau diasak jentera PN

Warisan tetap teguh pertahan mandat walau diasak jentera PN

Keteguhan Pimpinan Kerajaan Warisan, Kebanggaan anak muda Sabah

Sejak peralihan kerajaan di Persekutuan, kerajaan pimpinan Warisan Sabah terus ditekan dengan pelbagai tekanan dan ujian oleh Perikatan Nasional. Pelbagai fitnah, label dan propaganda dimainkan, hampir setiap hari oleh kerajaan Muhyiddin dan sekongkolnya di Sabah, bertujuan memberikan gambaran buruk terhadap pentadbiran kerajaan Sabah pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal. Sehinggakan kadang kala saya berasa hairan, beginikah cara kita rakyat Sabah berpolitik? Kerana perbezaan perjuangan politik, kita sanggup menggadaikan perpaduan yang menjadi kebanggaan kita sekian lama di negara ini.

Pendekatan politik di Sabah amat berbeza dengan Semenanjung. Realiti di Sabah, biarpun wujud perbezaan fahaman politik, isu perkauman, perbezaan bangsa tidak menjadi modal politik di Sabah sekian lama. Malah, ada yang masih boleh saling bertukar baju parti, duduk ‘kupi-kupi’, aramaiti, biarpun berbeza fahaman politik. Kalah dan menang dalam pilihanraya, bukanlah alasan untuk berpecah sejak sekian lama.

Namun, sejak Perikatan Nasional menjadi kerajaan di persekutuan, cara politik di Malaya, disemai pula Sabah. Isu perkauman dimainkan, api kebencian dibakar dimedia sosial. Fitnah sewenang-wenangnya ditabur siang dan malam, dengan harapan rakyat Sabah terpengaruh dan marah dengan kerajaan pimpinan Warisan. Tetapi hasilnya, rakyat Sabah pula yang mulai berpecah dan timbul syak wasangka yang boleh menjejaskan keharmonian Sabah.

Lebih malang lagi, dalam kesibukan kerajaan pimpinan Warisan Sabah menangani penularan Covid-19, Perikatan Nasional menekan pimpinan Warisan. Barangkali Perikatan Nasional melihat inilah masa yang terbaik menggugat kestabilan kerajaan pimpinan Warisan.

Kalau sebelum ini mereka menawarkan pelbagai jawatan dan imbuhan, seperti yang dinyatakan dalam video ‘Scheme of thing’, tetapi gagal, kali ini mereka menggunakan jentera kerajaan untuk menekan pimpinan Warisan. Adakah selepas ini mereka akan menekan rakyat Sabah pula sekiranya ‘grand plan’ mereka gagal?

Kenyataan YAB Ketua Menteri Sabah pada hari ini cukup bermakna dan amat membanggakan. Kerajaan Sabah yang diketuai Warisan terus fokus menangani isu Covid-19 membuktikan rakyat adalah keutamaan. UMNO, BN, PAS dan Perikatan Nasional di Sabah, patut berasa malu kerana mahu merampas sebuah kerajaan pilihan dalam tempoh krisis.

Selain itu, Ketua Menteri turut menyatakan keteguhan pimpinan Warisan, UPKO dan Pakatan Harapan untuk tidak sama sekali terpengaruh dengan tawaran jawatan dan imbuhan, sebaliknya terus teguh mempertahan mandat rakyat.

Keteguhan prinsip inilah yang menjadi kebanggaan kami rakyat Sabah. Terus berjuang.

Sabah for Sabahan.

Sumber:

COMMENTS