Warisan kini ‘king maker’ dalam kebuntuan politik negara

Warisan kini ‘king maker’ dalam kebuntuan politik negara

Warisan kini ‘king maker’ dalam kebuntuan politik negara. Warisan mungkin dapat kembali mencuri perhatian dalam politik di peringkat negeri dan persekutuan selepas Umno menarik balik sokongannya kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin minggu lalu.

Penganalisis sosiopolitik Awang Azman Pawi berkata, tanda tanya yang timbul mengenai sokongan majoriti buat Muhyiddin meletakkan Warisan dalam kedudukan yang agak penting.

Walaupun Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin minggu lalu berkata, pihaknya akan memastikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetap utuh, namun menurut Awang Azman, Umno akan memerlukan bantuan Warisan untuk membentuk kerajaan negeri seterusnya jika parti itu benar-benar menarik diri daripada gabungan tersebut.

“Inilah peranan yang dapat dimainkan Warisan. Ia boleh secara aktif mengalihkan sokongan mengikut prinsip tiada teman dan musuh tetap dalam politik … satu-satunya perkara yang tetap adalah kepentingan parti politik,” katanya kepada FMT.

Umno mempunyai 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah dengan tambahan dua ADUN dilantik, sementara Warisan pimpinan Shafie Apdal memiliki 22 kerusi.

Mungkin hanya tinggal 32 kerusi buat GRS di DUN, termasuk empat ADUN dilantik, berbanding 38 milik Umno Sabah dan Warisan jika mereka bekerjasama.

DAP, yang mempunyai enam kerusi, PKR (dua) dan Upko (satu) mungkin tidak akan menyokong GRS, yang kemudiannya akan menyebabkan kejatuhan gabungan itu.

Satu lagi kemungkinan, kata Awang Azman, adalah parti pembangkang Sabah mungkin tidak secara khusus membentuk pakatan dengan Umno Sabah tetapi mereka mungkin akan menyokong kerajaan negeri yang tidak dipimpin oleh Bersatu atau Perikatan Nasional (PN).

“Inilah yang terjadi di Perak yang menyaksikan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu digulingkan sebagai menteri besar susulan ‘kerjasama tidak rasmi’ (antara Umno dan Pakatan Harapan).

“Dalam konteks Sabah, jika gerakan seperti itu berlaku, maka Umno boleh bekerjasama dengan Warisan dan PH jika situasi antara Umno dan Bersatu di Putrajaya bertambah buruk,” katanya.

Bagaimanapun ini mungkin sukar dicapai kerana hubungan tegang antara Warisan dan PKR sekarang, katanya.

Namun jika ia berlaku, ini akan menambah tekanan politik di Semenanjung dan mungkin akan mencetuskan langkah Umno seterusnya di peringkat persekutuan.

“Dalam apa kes sekalipun, Warisan nampaknya berada dalam kerusi pengemudi. (Ini bermaksud) mereka boleh menetapkan syarat mereka sendiri seperti meminta kerusi Ketua Menteri,” kata Awang Azman.

Di peringkat persekutuan katanya, lapan Ahli Parlimen Warisan juga dapat memainkan peranan penting dalam mendapatkan sokongan majoriti.

“Jika Umno benar-benar menginginkan perubahan kepimpinan dari semua aspek, maka (gerakan) harus bermula dari Sabah dan kemudian diikuti di Semenanjung.

“Ini harus berlaku dengan cepat kerana situasi di sana semakin perlahan susulan kenyataan Peguam Negara (mengenai Muhyiddin masih memiliki sokongan majoriti) dan ketiadaan tindak balas daripada Perdana Menteri sendiri mengenai perkara itu,” katanya.

Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah Romzi Ationg berkata, walaupun Bung membuat kenyataan mengenai kesetiaan Umno kepada GRS, tiada halangan bagi mana-mana ADUN Umno atau GRS untuk ‘mencari-cari’ tempat lain demi kerelevanan politik dan pemeliharaan diri mereka jika kerajaan jatuh.

“Buat masa ini, semuanya nampak sudah reda selepas komen Bung tetapi ini tidak bermaksud pendekatan Umno Sabah tidak boleh berubah, terutamanya melibatkan Ahli Parlimen dan ADUNnya.

“Sama juga bagi wakil rakyat daripada parti lain. Sabah sudah biasa dengan situasi seperti ini,” katanya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/15/warisan-di-kerusi-pengemudi-setelah-politik-negara-temui-jalan-buntu-kata-penganalisis/

BACA JUGA : PH, Warisan, GPS : Jajaran baharu untuk diteroka