Wanita pulang kerja kena samun dan cabul dalam kereta axia e-hailing

Wanita pulang kerja kena samun dan cabul dalam kereta axia e-hailing

Seorang wanita yang menaiki kenderaan e-hailing untuk pulang dari tempat kerja disamun dan dicabul pemandu kenderaan itu di Batu Caves.

Ketua Polis Daerah Gombak Arifai Tarawe berkata, kira-kira pukul 6.30 petang pada Khamis, mangsa berusia 23 tahun itu menaiki kereta Perodua Axia yang dipandu suspek lelaki dari tempat kerja di Solaris Hartamas untuk pulang ke rumahnya di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

“Suspek (kemudian) membawa pengadu melalui laluan yang berbeza hingga tiba di kawasan Air Terjun Sungai Tua, Batu Caves,” kata beliau dalam kenyataan malam tadi.

Kata beliau, setelah memberhentikan kenderaannya, suspek menarik tangan wanita itu sehingga jatuh terbaring, menindih badannya dan menutup mulutnya, selain merampas telefon bimbit wanita itu.

“Suspek selanjutnya mengangkat sehingga separuh baju pengadu terangkat lalu menarik tangan pengadu sehingga ke belakang kereta dan memaksa pengadu membuka baju,” tambah Arifai.

Mangsa berjaya melarikan diri dan meminta bantuan penduduk setempat sebelum membuat laporan polis, kata beliau.

Arifai berkata, susulan laporan tersebut, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, menahan suspek lelaki berusia 25 tahun itu di pekarangan Balai Polis Selayang ketika dia hadir memberi keterangan semalam.

Dia didapati mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah, tambah Arifai.

Kes disiasat di bawah Seksyen 392 dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan, dan suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang hari ini bagi mendapatkan permohonan reman, kata beliau.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/20/wanita-baru-pulang-kerja-disamun-cabul-dalam-kenderaan-e-hailing/