Wanita PKR mahu 30 peratus dalam barisan MPN diisi golongan wanita

download (58).jpg

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Haniza Mohd Talha, mahu 30 peratus daripada barisan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) diisi golongan wanita bagi membolehkan mereka terlibat secara langsung dalam peringkat membuat keputusan.

Haniza berkata, antara jawatan yang boleh disandang golongan ini dalam MPN iailah bendahari, setiausaha, penolong setiausaha, ketua penerangan serta ahli jawatankuasa.

“Ini antara teras perjuangan dalam perlembagaan parti untuk meletakkan wanita di peringkat membuat keputusan, wanita punyai perspektif dalam buat keputusan. Kita ada wanita berkebolehan hanya tidak diberi peluang untuk jawat jawatan penting… Pengerusi MPN ada kuasa untuk melantik.

“Kita bekerja ke arah itu, hanya saya perlu ingatkan wanita bahawa agenda ini masih perlu diusahakan dan diangkat sebab kita belum capai lagi sasaran. Buat masa ini kalau ada pun hanya 20 peratus wanita dalam MPN,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Wanita Keadilan Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Haniza berkata perkara itu juga telah dimaklumkan kepada Presiden parti agar wanita dapat diberi ruang selari dengan teras perjuangan parti.

“Saya tidak mahu agenda atau isu berkaitan wanita hanya wanita melaksanakannya, ia mesti agenda semua orang. Bila kita bercakap mengenai wanita ia berhubung hak kemanusiaan, ia bukan mengenai hak wanita.

“Jadi penglibatan wanita tidak boleh dilihat sebagai saingan sebaliknya mereka lengkap melengkapi antara golongan lelaki,” katanya.

Justeru beliau berharap pimpinan Wanita PKR di Negeri Sembilan akan bangun dan nyatakan pandangan mereka.

Ditanya sejauh mana kepimpinan Wanita PKR setakat ini selepas Pilihan Raya Umum ke-14, Haniza berkata ia boleh dilihat dalam barisan kabinet yang turut diterajui Wanita PKR termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Hanya sekarang perlu tingkatkan calon dalam pilihan raya untuk capai sasaran 30 peratus wanita. Kita juga bincang dengan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan supaya mereka (wanita) turut membawa agenda itu, kena lantang suara jangan kompromi sangat, bila orang kata tidak bagi terus diam, kena lawan,” katanya.

Haniza berkata, pihaknya mempunyai beberapa cadangan untuk menambah bilangan wanita dalam pilihan raya akan datang dan cadangan itu akan dibawa pada Kongres Nasional Wanita Keadilan, 6 Dis ini.

“Cadangan itu, lantik Anggota Dewan Undangan Negeri tanpa kawasan dan lantik sebagai Senator di peringkat nasional,” katanya.

BERNAMA