Wanita ini akan pengsan jika lihat lelaki kacak

Wanita ini akan pengsan jika lihat lelaki kacak

Seorang wanita di bandar Northwhich, England menghidap sejenis penyakit di dalam otak yang membuatkan dia pengsan setiap kali melihat seseorang yang dianggap menarik, lapor portal akhbar Daily Mail baru-baru ini.

Kristy Brown, 32, didapati menghidap katapleksi iaitu kelumpuhan otot secara tiba-tiba yang boleh dicetuskan oleh emosi yang kuat seperti marah, takut dan perasaan ingin ketawa.

Keadaan ini sering dikaitkan dengan narkolepsi iaitu sejenis gangguan tidur dengan tempoh serangan kurang dari dua minit.

Ibu kepada dua anak itu terpaksa menundukkan kepala jika berdepan orang ramai untuk mengelak dirinya tercedera jika penyakitnya datang secara tiba-tiba.

“Perkara ini sangat memalukan. Pernah sekali ketika keluar membeli-belah saya melihat seseorang yang menarik dan kaki saya terus menjadi lemah sehingga saya terpaksa berpaut pada sepupu saya sebagai sokongan,” katanya.

Secara purata, Brown menghadapi lima kali serangan katapleksi setiap hari namun kekerapannya boleh meningkat kepada 50 kali apabila gangguan menjadi teruk sehingga dia sukar untuk keluar rumah.

“Memandangkan ia adalah gangguan tidur, saya selalu tidak cukup tidur.

“Bila saya tidur ia bukanlah tidur yang nyenyak jadi saya benar-benar berasa penat terutamanya apabila saya mendapat serangan lebih kerap daripada biasa,” katanya.

BROWN turut mengalami masalah gangguan tidur. -MERCURY PRESS & MEDIA LTD
Saya juga boleh mendapat serangan ketika berada di atas tangga yang curam kerana saya tidak suka pada ketinggian.

Jadi, saya berpindah ke rumah baharu yang tidak mempunyai tangga dan tidak akan berada di tempat yang memerlukan saya menaiki tangga.

“Kemarahan dan gelak tawa turut mencetuskan penyakit itu kerana saya dan adik-beradik selalu berbalah di samping gemar bergurau antara satu sama lain. Mereka ialah insan paling kelakar pernah saya kenal.

“Walaupun saya sekadar berasa diri sendiri lucu, saya boleh boleh mendapat serangan itu. Ia adalah mana-mana emosi bertenaga selain bunyi bising seperti hon kereta dan suara jeritan,” jelasnya.

Pernah sekali, apabila Brown bergaduh dengan seseorang, dia tiba-tiba pengsan dan masih menjalani fisioterapi akibat kecederaan belakang badan yang dialaminya semasa mendapat serangan itu.

Lahir dengan gen narkolepsi, Brown pernah mengalami kecederaan kepala sewaktu berusia sembilan tahun sehingga menyebabkan gangguan awal kepada otaknya.

“Ketika itu saya dan beberapa rakan membaling batu pada pokok untuk mendapatkan buah kacang keras dan seorang daripada mereka telah memukul kepala saya.

“Namun, sekalipun insiden itu tidak berlaku, lambat laun saya pasti akan menderita katapleksi pada masa depan kerana mewarisi gen tersebut,” katanya.

Brown yang juga ibu tunggal berkata, dia sukar mendapat pekerjaan kerana kesihatan dirinya tidak mengizinkan.

“Ketika saya mendapat serangan, badan saya tidak berasa apa-apa. Ia ibarat situasi litar pintas yang menganggu dari bahagian otak ke otot.

“Ia membuatkan saya hilang kawalan pada kaki saya tetapi separuh bahagian atas badan saya masih terasa kuat,” luahnya

Berita Penuh :https://www.kosmo.com.my/2021/03/26/pengsan-jika-lihat-lelaki-kacak/