Wanita hamil kecewa suami direman setelah ditangkap kerana ‘hina’ Sanusi

Ika, seorang wanita berusia 24 tahun yang baru berkahwin Disember lalu dan kini hamil dua bulan, sangat merindui suaminya.

Beliau tidak dapat berhubung dengan suaminya, seorang penganalisis IT yang ditahan selama tiga hari bermula semalam atas dakwaan menghina Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor di Facebook atas kenyataannya yang tidak sensitif baru-baru ini.

Menurut Ika, sepasukan lapan anggota polis, kebanyakannya berpakaian preman, datang ke rumahnya di Taiping sekitar tengah malam untuk menahan suaminya.

hamil

Katanya, suaminya menurut arahan supaya mengikut mereka ke balai polis.

Tambah Ika, pada 2.40 pagi, suaminya menghantar pesanan teks memberitahunya dia baik-baik sahaja, namun Ika tidak lagi mendengar khabar daripadanya sejak itu. Katanya, beliau tidak mendapat sebarang respons daripada pegawai penyiasat di Sungai Petani mengenai keadaan suaminya.

Wanita berkenaan berkata, mesej yang dihantar kepada Sanusi itu adalah mesej peribadi ke laman peminatnya, yang bersifat kritikan tajam bersulam “jenaka sekolah menengah”.

“Apa yang suami saya katakan tidaklah seteruk apa orang lain katakan secara terbuka di media sosial. Dia berasa terkilan. Pada masa kes Covid-19 melonjak, ada orang yang meremehkan kematian. Itulah sebabnya dia menghantar mesej itu.

“Saya sangat sedih dan tak boleh tidur memikirkannya. Saya berasa sunyi.

“Suami saya tak buat sebarang ancaman terhadap MB atau ibunya seperti yang dilaporkan. Tolong lepaskan dia,” rayu wanita itu.

“Kami baharu sahaja memulakan kehidupan bersama. Sudahlah saya sedang mengalami alahan mengandung yang teruk dan sekarang, saya perlu hadapi ini.

“Saya tidak dapat bayangkan seksaan mental yang ditanggung suami saya ketika dalam tahanan kerana hanya mengatakan apa yang ada di fikirannya.

“Mengapa mereka mesti meremannya begitu lama apabila mereka boleh sahaja ambil keterangan dan melepaskannya? Dia tidak membunuh atau merompak sesiapa.

“Saya rasa tak perlu jadi MB jika tak boleh terima kritikan. Baik duduk saja dan baca komen FB sepanjang hari,” kata Ika.

Beliau risau tentang pekerjaan suaminya susulan kejadian ini, katanya.

FMT telah cuba mendapatkan komen daripada Sanusi.

Mahkamah benar reman, kata polis

Ketua Polis Kuala Muda Adzli Abu Shah berkata, perintah reman telah dibenarkan oleh mahkamah untuk membolehkan polis menyelesaikan siasatan.

Katanya, walaupun beliau simpati dengan keadaan Ika, polis mempunyai kewajipan untuk menyiasat aduan.

“Apabila kami ada alasan untuk menahan seseorang lebih lama untuk siasatan, kami beri alasan ini kepada hakim ketika memohon perintah reman. Mahkamah mempertimbangkannya dengan teliti sebelum membuat keputusan berhubung reman tiga hari itu.

“Dalam kes seorang lelaki dari Lenggeng, Negeri Sembilan, yang turut ditahan berhubung perkara sama, dia memberitahu majistret dia ada masalah kesihatan dan mahkamah tidak membenarkan perintah reman.

“Jadi, nasihat saya adalah jangan buat kenyataan menyinggung perasaan terhadap sesiapa. Patuhi undang-undang,” kata Adzli kepada FMT.

Sementara itu, veteran DAP Lim Kit Siang berkata, Ketua Polis Negara (KPN) perlu campur tangan dan memainkan peranannya sebagai pelindung rakyat.

Katanya dalam kenyataan, KPN harus memastikan imej polis tidak diperlekehkan oleh pegawai yang salah faham tentang peranan dan tugas mereka.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata, menteri sepatutnya berlapang dada menerima kritikan terbuka, bukan menahan individu yang mengutuk mereka.

Katanya, rakyat berhak berasa terkilan atas kenyataan Sanusi mengenai kontena yang digunakan untuk menyimpan mayat Covid-19 kerana ia bukan suatu jenaka.

Menteri Besar itu telah memohon maaf atas kenyataannya, tambah Lim.

Dalam sidang media pada 6 Ogos, Sanusi ditanya mengenai status kontena penghantaran yang digunakan untuk menyimpan mayat di Hospital Sungai Petani, susulan ketiadaan ruang di bilik mayat di sana.

Beliau menjawab, lebih banyak kontena akan disediakan, sambil menambah, “kontena jenazah mencukupi, siapa nak masuk, bagi nama”.

Komen beliau itu bukan sahaja memberi “peluru” kepada pembangkang untuk mengkritik ulasan tidak sensitif di tengah-tengah penularan wabak Covid-19 yang melanda negara, malah dibidas warganet.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/11/tak-perlu-jadi-mb-jika-tak-boleh-dikritik-wanita-hamil-terkilan-suami-direman-dakwaan-hina-mb-kedah/

BACA JUGA : Gempar !!! Agong dilapor titah Muhyiddin percepat sidang Parlimen