Walaupun saman ditarik, derma mungkin tetap terus dikutip – Razman

Walaupun kes saman Presiden PAS, Abdul Hadi Awang terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown diselesaikan di luar mahkamah, parti itu tidak menolak kemungkinan memerlukan bantuan ahli dan penyokong bagi menampung kos guaman yang tertunggak.

Bendahari PAS Pusat, Razman Zakaria berkata, setakat ini pihaknya belum mendapat maklumat mengenai jumlah akhir kos yang diperlukan tetapi menjangkakan dana parti tidak mencukupi.

“Kita ada kos setiap bulan sepanjang kes berjalan, pengurusan kes juga kita perlukan kos. Ya kalau ikutkan macam itulah (minta derma).

“Sebab itu yang kita katakan bahawa dana PAS ini ada di tangan ahli bagi mereka sedar. Jadi bila tiba masanya dan ada keperluan kita akan sentiasa minta daripada ahli,” katanya memetik sumber Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada PAS masih perlukan dana untuk menampung perbelanjaan kos guaman kes tersebut.

Penyelesaian luar mahkamah berkenaan adalah berhubung kes saman fitnah yang difailkan Abdul Hadi pada 2017 susulan laporan yang disiarkan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016.

Kenyataan media Setiausaha Politik presiden PAS semalam memaklumkan penyelesaian luar mahkamah itu termasuklah penarikan balik tuntutan Abdul Hadi terhadap Clare. Begitu juga tuntuan balas Clare terhadap Abdul Hadi.

Dengan penyelesaian itu, Clare berkata artikel yang disiarkan laman Sarawak Report yang menjadi pertikaian itu kekal dan tidak ditarik balik.

 

Sumber : https://www.malaysiakini.com/news/462717