Walaupun darurat kerajaan tak boleh buat moratorium automatik?, soal Syed Saddiq

Walaupun darurat kerajaan tak boleh buat moratorium automatik?, soal Syed Saddiq

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan mengapa kerajaan tidak melaksanakan moratorium automatik kepada rakyat sedangkan negara kini berada dalam tempoh darurat.

Menurut beliau, di bawah Proklamasi Darurat, kerajaan telah menggantung Parlimen malah sudah meluluskan penggunaan wang Persekutuan tanpa kelulusan Parlimen.

“Menteri Kewangan (Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) kata kerajaan tak kawal bank, jadi tak boleh laksanakan moratorium automatik kepada rakyat.

“Ini buat saya naik hairan. Negara hari ini telah diisytihar darurat kerana kononnya mahu melawan wabak Covid-19 dan melindungi rakyat.

“Maksudnya apa? Kerajaan boleh buat apa yang dirasakan perlu untuk rakyat pada waktu darurat termasuklah menyuruh bank membuat moratorium automatik kepada rakyat.

“Takkan itu pun tak boleh? Apa fungsi darurat kalau ini sahaja respons Menteri Kewangan?” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya pada Rabu.

Jelas Syed Saddiq, sewaktu kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, bank boleh sahaja melaksanakan moratorium penuh kepada rakyat secara automatik.

Namun katanya, pada PKP 3.0, bank sudah tidak boleh buat lagi secara penuh kerana kerajaan didakwa tidak memiliki bank-bank di negara ini.

“Hairan saya. Sekejap kerajaan berjaya buat moratorium penuh, sekejap kata tak boleh sebab tak kawal bank. Adakah rakyat itu hanya susah, lapar dan sakit pada PKP 1.0 dan bukan PKP 3.0 ini?

“Bank sebenarnya mampu melaksanakan moratorium penuh kepada rakyat. Waktu bank buat moratorium penuh pada PKP 1.0, bank masih catat untung besar.

“Kalau kita tengok, bank-bank di Malaysia mencatatkan keuntungan bersih pada suku pertama 2021. Jadi, apa yang menghalang bank dari membuat moratorium penuh? Untung dapat, duit pun dapat. Malangnya, menteri kewangan hanya beri alasan, ‘kerajaan tak kawal bank’,” ujarnya.

Sebelum ini, Tengku Zafrul dilaporkan berkata, kerajaan tidak boleh mengawal atau memaksa bank menyediakan bentuk pakej bantuan tertentu terhadap pelanggannya berikutan pelaksanaan ‘total lockdown’.

Ia berikutan kerajaan tidak memiliki bank-bank di negara ini.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/141875/BERITA/Nasional/Syed-Saddiq-persoal-kerajaan-tidak-laksana-moratorium-automatik