Walaupun 2 murid SK Bangsar positif Covid-19, KPM tidak tutup sekolah tersebut

Walaupun 2 murid SK Bangsar positif Covid-19, KPM tidak tutup sekolah tersebut

Dua murid perempuan, masing-masing Tahun Empat dan Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Bangsar di sini, disahkan positif jangkitan COVID-19, hari ini.

Mengesahkan kejadian itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Bangsar, Mohd Yazid Mohd Yasin, berkata pihak sekolah dimaklumkan perkara itu oleh penjaga dan Kementerian Kesihatan (KKM) sekitar jam 10.30 pagi tadi.

Susulan itu, katanya, pihak sekolah memaklumkan kepada PIBG dan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) datang melaksanakan ujian saringan terhadap murid dan guru membabitkan dua kelas tahun berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, tiada arahan penutupan sekolah buat masa ini, namun sesi persekolahan petang hari ini ditangguhkan.

“Petugas KKM menjalankan ‘swab test’ (ujian calitan) bermula jam 2 petang tadi kepada kira-kira 80 murid dari dua kelas Tahun Empat dan Lima, serta 26 guru yang dikenal pasti sebagai kontak rapat dua murid yang positif COVID-19 itu.

“Petugas KKM juga dijangka akan menjalankan sanitasi di kelas dan lokasi berkaitan. Namun, pihak sekolah memang melakukan sanitasi setiap hari.

“Buat masa ini, tiada arahan penutupan sekolah, dan pihak pentadbir juga tiada kuasa untuk menutup sekolah, sebaliknya perlu tunggu arahan daripada pejabat pendidikan daerah (PPD) dan Kementerian Pendidikan,” katanya kepada BH, hari ini.

Difahamkan, dua murid perempuan itu mendapat jangkitan daripada ahli keluarga mereka, selepas pulang daripada menghadiri kenduri baru-baru ini.

Mohd Yazid mengakui, majoriti ibu bapa SK Bangsar, khususnya yang anak mereka menjadi kontak rapat kes positif itu, bimbang jika sesi persekolahan terus berjalan seperti biasa.

“Saya hadir ke sekolah tadi, dan ramai ibu bapa yang maklumkan bimbang dengan situasi semasa, malah ada yang menangis apabila melihat anak mereka dipakaikan gelang berwarna.

“Pihak PIBG berpandangan, PPD dan kementerian wajar menangguhkan sementara sesi persekolahan antara seminggu atau dua minggu, sementara menunggu keputusan ujian murid yang menjadi kontak rapat.

Buat masa ini, kata Mohd Yazid, PIBG SK Bangsar menyarankan ibu bapa yang tidak mahu menghantar anak ke sekolah kerana bimbang dengan keselamatan anak mereka, boleh berbuat demikian, namun perlu menghantar surat kepada pihak sekolah.

“Surat ini penting kerana jika PPD bertanya mengenai jumlah kehadiran yang tidak memberangsangkan, sekolah boleh tunjukkan surat itu,” katanya.

Ketiadaan arahan menutup SK Bangsar, walaupun ada dua kes positif COVID-19 menimbulkan persoalan berikutan ada sekolah yang hanya mengesan satu kes positif dalam kalangan pelajar diarah tutup sebelum ini.

Antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara di Labuan, yang diarah tutup sementara untuk proses sanitasi setelah seorang pelajarnya disahkan positif COVID-19, hari ini.

SK Kompleks Seberang Takir dan SMK Kompleks Seberang Takir pula diarah tutup 5 Oktober lalu, susulan beberapa murid sekolah itu dikatakan mempunyai kontak rapat dengan seorang kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang disahkan positif COVID-19 Sabtu lalu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noorhisham Abdullah, dalam kenyataannya, berkata lapan kes dikesan dalam kluster baharu dikenali sebagai Kluster Jalan Pantai, hari ini.

Beliau berkata, 10 kes jangkitan baharu dikesan di Kuala Lumpur hari ini, dengan dua kes lagi dikesan hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi di Sabah.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/10/739848/kpm-tidak-tutup-sk-bangsar-walaupun-2-murid-positif-covid-19