Wakil rakyat lompat parti bersifat peribadi, tidak akan jejaskan hubungan antara Amanah dan PKR – Penganalisis

Kekuatan sesebuah parti terletak kepada sokongan akar umbi dan bukan bergantung kepada penghijrahan wakil rakyatnya.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali menjelaskan, parti Amanah dan PKR sendiri mempunyai masa depan cerah di dalam politik negara kerana sifat mereka yang dinamik, pragmatik dan menjiwai keperluan, pemikiran serta hasrat rakyat.

“Saya percaya bahawa konsep orientasi kepimpinan yang dibawa oleh dua parti ini memungkinkan mereka akan mendapat sokongan daripada rakyat Malaysia terutama orang-orang muda yang akan menyertai politik dan pesta demokrasi sekurang-kurangnya pada bulan Julai tahun ini. Mereka yang berumur 18 tahun ke atas sehingga 20 tahun akan menyertai politik sebagai pengundi.

“Saya percaya kedua-dua parti ini, mereka akan terus mempunyai persamaan di dalam konteks perjuangan mereka menghala PRU ke-15,” katanya semasa sidang video pada Ahad.

Beliau mengulas tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senggarang daripada Amanah, Khairuddin A. Rahim yang disahkan menyertai PKR.

Khairuddin mengesahkan perkara berkenaan dalam satu kenyataan pada Sabtu dan menjelaskan beliau kini menyertai PKR Cabang Batu Pahat.

Dalam pada itu kata Dr Mazlan, penghijrahan wakil rakyat itu bersifat peribadi dan tidak akan menjejaskan hubungan di antara Amanah dan PKR.

Malah jelasnya, mereka mungkin akan melihat strategi yang lebih sesuai, lebih baik selain kepimpinan akan memenuhi keperluan serta hasrat akar umbi parti masing-masing untuk mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/tiada-kelebihan-wakil-rakyat-lompat-parti-penganalisis-politik-285192

COMMENTS

Wordpress (0)