Waie… Semoga kamu damai disana..

Waie… Semoga kamu damai disana..

Waie… Semoga kamu damai disana..Di sana ini tanah kubur masih basah dan banyak air mata belum kering. Saban hari beribu-ribu angka kematian dilaporkan. Ketika artikel ini ditulis, angka mangsa Covid-19 sudah 880,782 orang termasuk 13,215 kes semalam.

Ia adalah hari ketiga kes baru harian mencatat lima digit. Angka kematian juga terus dicatatkan. Semakin hari semakin hampir kepada kita, kematian itu.

Fitrah kehidupan, sememangnya berakhir dengan kematian. Tetapi kematian sebegini boleh kita elakkan bersama. Melainkan ajal ketentuan Tuhan yang Maha Berkuasa menetapkan takdir demikian.

Petang kelmarin, sahabat kami Ahmad Zuwairi Che Ramly atau lebih dikenali dengan nama Waie menemui Pencipta kita. Penulis lirik lagu ‘Kita Kan Sekampung’ nyayian Daqmie itu meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, selepas hampir seminggu berada di situ.

Seminggu sebelum itu abang iparnya, Amzan Satiman, lebih awal pulang ke negeri abadi gara-gara Covid-19. Ibunya masih di dalam hospital, manakala keluarganya sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Waie

Mungkin ramai tidak mengenali Waie. Dia bukan orang politik, artis atau ahli perniagaan yang terkenal. Waie seorang anak kampung yang meminati seni lagu untuk dijadikan wadah berdakwah. Dia ialah pengasas nasyid.com yang berperanan membangunkan industri nasyid di tanah air.

Beberapa minggu lalu, mak cik saya – Wak Imah – kembali ke sisi pencipta juga kerana Covid-19. Entah sudah beberapa kenalan saya turut dijemput kembali kerana wabak itu. Berita kematian Covid-19 bukan lagi berita orang lain. Ia adalah berita kita bersama. Semakin hampir kematian itu.

Saya mula mengenali Waie sejak zaman saya menerajui Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Sukan Pemuda PAS Malaysia awal 2000. Dia seorang yang sederhana dan senang membantu. Dia banyak bertindak di sebalik tabir terutama semasa muktamar PAS dan konvensyen Amanah khususnya mengurus sistem audio dan persembahan.

Kali terakhir kami bekerjasama ialah semasa membuat program Kita Kan Sekampung di Perak. Sayangnya idea untuk program itu diperluaskan tidak kesampaian.

Waie adalah insan kecil yang mempunyai idea besar buat tanah airnya. Sebagai anak seni, Waie menzahirkan rasa kecewa dengan suanana politik negara terutama politik orang Melayu yang tidak kering daripada pertelingkahan yang merugikan semua pihak.

Perpecahan dalam Pas sehingga mewujudkan Amanah disusuli perpecahan dalam Umno yang melahirkan Bersatu hanya menambah-nambah kekecewaan kami.

Di bawah pemerintahan Perikatan Nasional (PN), hawa politik bukan saja semakin panas sahaja tetapi negara ditimpa kesengsaraan yang tidak pernah dialami sejak merdeka.

Lirik cukup mengesankan

Kini ramai rakyat hilang nyawa, hilang kerja, hilang sabar, hilang kawan, hilang sedikit demi sedikit apa yang ada dalam tangan dan ingatan.

Politik yang tidak menentu hingga menimbulkan kemelaratan satu negara adalah suatu hal yang perlu kita elakkan. Tiada siapa yang untung.

Ramai ahli politik tanah air menyuarakan untuk mencari jalan penyelesaian. Selesailah elok-elok dan fokus kepada pemulihan tanah air yang tercedera parah akibat Covid-19.

Dr Mahathir Mohamad pernah menyuarakan idea kerajaan perpaduan. Lim Kit Siang juga mengemukakan idea yang sama. Beberapa tahun lalu, Abdul Hadi Awang. Kemudian ada idea khemah besar dan ‘grand coalition’. Semua jenama itu mempunyai misi yang sama: perpaduan untuk tanah air.

Dalam kalangan ahli akademik, ramai menyuarakan keperluan ahli politik mengambil pendekatan yang benar-benar berasaskan kepentingan tanah air. Beberapa hari lalu, Prof Abdul Rahman Embong meminta gencatan segera antara pemimpin dan penyokong politik tanah air. Prof Mohammed Agus Yusoff banyak memberi pandangan: “Sudah matikah jiwa pemimpin?”

Tidak kira lagi luahan netizen yang masing-masing melahirkan kekecewaan, harapan, pandangan dan seribu satu buah fikiran agar amukan Covid-19 dapat diakhiri.

Mengimbau kembali pada penghujung tahun 2018, saya mendengar lagu ‘Kita Kan Sekampung’ yang ditulis Waie bersama rakannya, Mir Hazil. Kemudian saya terus hubungi Waie untuk mengucapkan tahniah atas lagu tersebut dan menyatakan hasrat untuk berbincang lebih lanjut tentang lagu tersebut.

Lagunya memang menarik tetapi lebih penting, liriknya cukup mengesankan. Ia bukan sekadar sebuah lagu. Ia adalah lagu yang mempunyai motif kenegaraan dan kebangsaan yang sangat tinggi.

Dalam rangka membawa idea besar Waie ke Perak, saya mengajak dia datang berbincang beberapa kali. Idea kami ialah untuk menyatukan perpecahan dalam masyarakat dan kembali kepada akar kekuatan orang Melayu, iaitu melalui seni.

Kampung dan Melayu adalah kekuatan politik tanah air kita pada hari ini, semalam dan akan datang. Sekiranya orang Melayu yang menjadi teras kepada kerangka politik tanah air bercempera, tanah air ini bukanlah sebuah rumah yang damai untuk dihuni sesiapa.

Waie sebagai anak seni tidak selesa berada dunia politik yang kejam berpanjangan. Dia mengambil peranan untuk agama dalam konteks yang lebih luas. Menyertai politik terlalu banyak risikonya.

Waie

 

Nasib anak seni dalam politik

Ramai anak seni tanah air ‘gagal’ dalam dunia politik. Aisyah menyertai Amanah selepas keluar PAS. Kini mengambil sikap mengundur diri dari politik. Novelis Azizi Haji Abdullah pernah bertanding atas lambang bulan di Kedah, namun sehingga akhirnya dia tidak mendapat tempat sewajarnya dalam parti.

Sasterawan Negara (SN) Shahnon Ahmad menjadi ahli parlimen selama satu penggal dan tidak menyerlah di Dewan Rakyat. Seorang lagi SN, A Samad Said kini menyepi. Dayangku Intan juga lama tidak kedengaran.

Namun di sudut hati anak-anak seni, mereka sebenarnya sangat peka kepada tanah air. Mereka menggunakan seni bagi menyumbangkan yang lebih bermakna pada tanah air.

Jika Melayu bersatu, tanah air ini akan aman dan damai. Berpolitiklah secara mana sekalipun, pastikan ada batasnya. Orang Cina, India, Kadazan, Murut dan lain-lain akan turut menikmati kehidupan yang lebih harmoni.

Pencipta lagu, Eddie Hamid baru sahaja mencipta lagu ‘Bendera Putih’ yang dinyanyikan Roy Kapilla. Eddie menulis: “Biru, hijau, oren, merah, hentikanlah sengketa’. Mesejnya sangat jelas.

Alangkah indah dan damai kiranya semua pemimpin politik dapat menyediakan ruang untuk bersatu hati bagi memastikan rakyat tidak terus sengsara. Ketepikan ego masing-masing. Tahankanlah derita lama.

Waie dengan liriknya mengajak kita memikirkan tentang asal usul kita: kampung.

Pabila hujan turun rahmatnya
kepada kawan ada keberkatannya
indahnya bila kita bersaudara
di desa yang indah nan tercinta

Waie menggunakan hujan yang akrab dalam pemikiran orang Melayu tentang keberkatan hidup. Simbol tersebut sangat menyentuh apabila dikaitkan dengan kehidupan di desa.

Meskipun sebahagian besar anak muda Melayu tinggal di kota, kehidupan desa sangat menggamit kenangan.

Dengan memanfaatkan psikologi orang Melayu dengan kampung, Waie yakin bahawa sehebat mana seseorang itu pergi ke dunianya, kampung akan tetap dalam ingatan. Ini dirakam dalam rangkap berikutnya;

Sejauh mana kaki melangkah
setinggi mana gunung di daki
desa tercinta takkan berubah
itulah asal permulaan diri

Korus lagu tersebut diulang beberapa kali bagi menyuntik kesedaran keperluan hidup sokong-menyokong akan memberi faedah bersama. Itulah yang Waie ingin sampaikan dalam seni persembahan. Mesejnya sangat jelas. Ia bukan doktrin politik. Perenggan itu berbunyi:

Kita kan sekampung,
saling sokong menyokong
hidup bergotong-royong
semua beruntung

Begitulah tinggalan Waie kepada kita – lagu dan kenangannya. Waie pernah menghantar mesej kepada rakannya, Azam Mektar, setiausaha biro yang saya ketuai.

Pesannya: “Harap tidak jadikan pengiat seni sebagai penyedap mata. Usah menjemput mereka hanya untuk menjadi penghibur, menyedap telinga dan telinga. Mereka berperanan membina negara ini. Terima teguran mereka dengan hati terbuka. Seni lidah dan tangan mereka selari dengan akal anugerah Allah untuk menegur pemimpin dan membentuk masyarakat. Letakkan pengiat seni pada tempatnya.”

Ya Allah angkatlah wabak Covid 19 yang telah meragut ramai jiwa hamba-Mu. Damaikanlah pemimpin dalam kalangan kami untuk meneroka jalan yang menghargai kemanusiaan dan tanah air ini.

Waie, semoga kau damai di sana.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/hiburan/583271

jika Terlepas: Jangan cabar arahan kerajaan, kata Ismail Sabri kepada kilang