[Video] Runtuhan tebing air terjun, enam pengunjung maut

Runtuhan tebing air terjun, enam pengunjung maut.Sekurang-kurangnya enam individu maut manakala sembilan lagi parah selepas ketulan batu dari tebing runtuh menimpa mereka berhampiran air terjun sebuah tasik di Brazil, pada Sabtu.

Leftenan Jabatan Bomba Minas Gerais, Pedro Aihara berkata, 20 lagi individu masih hilang dalam kejadian itu manakala 24 mangsa berjaya diselamatkan.

Sebuah video yang tersebar di media sosial, yang telah disahkan oleh pihak berkuasa Brazil, menunjukkan sekumpulan bot kecil bergerak perlahan berhampiran tebing batu di Tasik Furnas, apabila berlaku keretakan pada sebuah batu besar, sebelum ia jatuh menimpa sekurang-kurangnya dua bot.

Pejabat Akhbar Negeri Minas Gerais memberitahu The Associated Press bahawa pihak bomba telah mengerahkan penyelam dan helikopter untuk membantu.

Gabenor Minas Gerais, Romeu Zema, menghantar mesej solidariti kepada mangsa melalui media sosial.

Tasik Furnas, yang dipanggil “Laut Minas,” merupakan tarikan pelancong popular di kawasan itu yang terletak kira-kira 420 kilometer di utara Sao Paulo.

Negeri Minas Gerais telah mengalami hujan lebat yang memaksa hampir 17,000 orang dipindahkan akibat banjir.

Pihak berkuasa berkata, hujan mungkin menyumbang kepada runtuhan tebing berkenaan.

Tentera laut Brazil, yang turut membantu dalam menyelamat berkata, pihaknya akan menyiasat punca kejadian itu.

BACA JUGA : Satelit China bakal dilengkapi laser berkuasa tinggi
Status birthday anak Tg Zafrul dipenuhi komen minta pengeluaran RM10 ribu KWSP

Artikel ini disiarkan pada 09/01/2022

COMMENTS

Wordpress (0)