[Video] Pemuda gaza temui tunang sendiri di celahan runtuhan bangunan

[Video] Pemuda gaza temui tunang sendiri di celahan runtuhan bangunan

Bagi mana-mana pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga, detik yang paling dinanti-nantikan adalah ketika bersama di atas pelamin indah. Suasana majlis walimatulurus yang membahagiakan, diraikan oleh keluarga dan sahabat-sahabat terdekat.

Namun apa yang menimpa ke atas seorang pemuda di Gaza, Palestin ini sangat menyentuh hati kita semua, di mana ‘pelamin angannya musnah’ dek gara-gara tunangnya terkorban dan syahid dipercayai akibat serangan udara Tentera Israel.

Difahamkan, pemuda tersebut, Anas al-Yazji sudah pun bertunang dengan pasangannya, Shaimaa Abul Ouf dua tahun yang lalu. Namun majlis ‘walimatul urus’ mereka belum lagi dilangsungkan.

Jelas Anas, sepatutnya majlis perkahwinan mereka akan berlangsung dalam bulan Syawal ini. Malah dia telah memperuntukkan masa kira-kira dua bulan lamanya untuk menyiapkan rumah untuk mereka duduki nanti. Semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang.

Salam terakhir, hanya senyum menjadi khabar
Bagaimanapun detik hitam kisah mereka bermula apabila pada suatu malam, Anas bertanya khabar kepada Shaimaa melalui panggilan di telefon.

“Saya bertanya ‘Shaimaa, awak ada di mana tu? Boleh saya tahu?‘. Tiba-tiba kedengaran bunyi ledakan bom yang kuat di sana. Saya cuba mencarinya di lokasi kejadian namun tidak ditemui.

“Namun saya bersyukur kepada Allah, Alhamdulillah. Mereka semua telah pun syahid,” katanya ketika ditemui pemberita selepas kejadian itu.

Anaz sempat menemui mayat Shaimaa di sebalik timbunan runtuhan bangunan yang dibedil itu. Secara fitrahnya, lelaki mana yang tidak sedih melihat insan yang dicintai telah pergi selama-lamanya.

“Sebelum ini ketika saya temui (mayat) dia, saya nampak wajahnya senyum. Saya berkata, ‘Demi Allah wahai Shaimaa, kau ternyata lebih kuat berbanding aku’,” tambahnya.

Anas tidak seperti lelaki-lelaki yang biasa, tetapi pemuda Gaza ini sungguh luar biasa tabahnya. Pemergian Shaimaa secara mengejut itu langsung tidak membuatkannya lemah, malah dia lebih bersyukur kerana Shaimaa telah menemui Penciptanya dengan cara paling terhormat; iaitu syahid.

“Kita semua memang akan kembali kepada Allah. Kerana Allah, saya gembira. Dia (Shaimaa) telah syahid dan dia mampu memberi pertolongan (syafaat) untuk 70 lagi ahli keluarganya yang lain.

“Saya berharap sangat yang saya akan jadi orang pertama mendapat syafaatnya nanti. Dan kalau Allah izinkan, Shaimaa diangkat menjadi ketua Hur Al-Ayn (bidadari syurga) nanti, InsyaAllah. Saya berharap dan berdoa kepada Allah untuk segalanya,” luahnya.

Difahamkan, Shaimaa yang berusia 21 tahun itu merupakan pelajar tahun tiga jurusan pergigian. Rumahnya telah menjadi sasaran bedilan bom hingga menyebabkan ibu dan dua adik lelakinya terkorban.

Tidak cukup dengan bedilan itu, mayat Shaimaa dan ahli keluarganya dipercayai tertimbus di sebalik runtuhan tersebut dan pihak penyelamat berjaya menemui mayat mereka kira-kira 14 jam selepas itu.

Serikandi ini bukan calang-calang orang. Selain seorang yang lemah-lembut, berpendidikan tinggi dan berakhlak, Shaimaa juga merupakan seorang Hafizah yang tersemat lengkap 30 juzuk Al-Quran dalam hatinya. Sungguh, syurga memang menantikan kehadirannya.

Semoga ketabahan Anas meredai kehilangan insan paling dicintai ini menjadi semangat buat kita untuk sentiasa percaya akan hikmah yang berlaku di sebalik setiap ujian daripada-Nya. Salam takziah atas pemergian serikandi Gaza, As-Syahidah Shaimaa Abul Ouf. Al-Fatihah

Sumber:https://siakapkeli.my/2021/05/19/video-pelamin-impian-musnah-temui-jasad-tunang-dicelah-runtuhan-ketabahan-ucapan-pemuda-gaza-ini-buat-ramai-tersentuh-hati/?fbclid=IwAR35TF94SU8XvkKBcO3t__4qAFDyMvGwj_HV7plQDrnxnnXLi4woqPhoplA