Vellfire lebih selesa dan selamat, kata Menteri Kewangan

Faktor keselamatan dan keselesaan pengguna antara sebab utama kerajaan memutuskan untuk menukar kereta rasmi menteri daripada Proton Perdana 2.4 Premium kepada Toyota Vellfire.

Selain itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, faktor lain ialah Proton tidak lagi mengeluarkan model tersebut di samping mengambil kira kos pembaikan dan penyelenggaraan.

Menurutnya, keputusan untuk menggantikan kenderaan itu dibuat pada Disember 2020 dan pada waktu itu, penggantian harus dilakukan kerana kenderaan digunakan telah tamat tempoh pajakan.

Vellfire lebih selesa dan selamat, kata Menteri Kewangan

Persoalan dibangkitkan Sim Tze Tzin (PH – Bayan Baru) yang bertanya keputusan kerajaan menukar kenderaan rasmi seperti diumumkan baru-baru ini. – Foto Jabatan Penerangan Malaysia

“Kereta anggota pentadbiran kerajaan telah tamat pajakan dan perlu diingatkan (penggantian perlu dilakukan) memandangkan ia melibatkan soal keselamatan dan keselesaan pengguna, di samping kos pembaikan.

“Selain itu penyelenggaraan akan menjadi tinggi dan ketersediaan alat ganti pun makin berkurang sebab kereta itu (Proton Perdana) tidak dibuat lagi.

“Ia akan menjejaskan kelancaran penyelenggaraan anggota pentadbiran,” katanya pada sesi penggulungan Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dibangkitkan Sim Tze Tzin (PH – Bayan Baru) yang bertanya keputusan kerajaan menukar kenderaan rasmi seperti diumumkan baru-baru ini.

Tambah Tengku Zafrul, kerajaan ambil maklum bahawa kenderaan tempatan perlu diberi keutamaan untuk kegunaan anggota pentadbiran.

Begitupun, katanya, Proton sendiri secara rasmi memberitahu kementerian tersebut pada dua tahun lepas bahawa mereka tidak lagi mengeluarkan model berkenaan.

Sebelum ini Kementerian Kewangan mengumumkan pertukaran Kenderaan Rasmi Jawatan (KRJ) bagi Menteri-menteri Persekutuan dari Proton Perdana 2.4 Premium kepada Toyota Vellfire 2.5L.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan keputusan pertukaran KRJ ini dibuat antara lainnya berdasarkan kos sewaan Toyota Vellfire 2.5 lebih rendah berbanding Proton Perdana 2.4 Premium.

Menerusi jadual sewaan yang disertakan, kadar sewaan Toyota Vellfire 2.5 adalah RM4,851.61 sebulan berbanding RM4,854.41.

BACA JUGA : Pendapatan penduduk luar bandar kini cecah RM5,000 – Menteri
Dulu guna syurga, kini guna malaikat pula dalam kempen PN

Artikel ini disiarkan pada 18/11/2021

COMMENTS

Wordpress (0)