Vaksin ‘Vero Cell’ dapat kelulusan bersyarat dari KKM

Vaksin ‘Vero Cell’ dapat kelulusan bersyarat dari KKM

Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) ke-356 pada Jumaat bersetuju meluluskan pendaftaran secara bersyarat bagi produk vaksin Covid-19 ‘CoronaVac Suspension for Injection Covid-19 Vaccine (Vero Cell), Inactivated’ untuk kegunaan semasa bencana.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, produk itu dihasilkan oleh Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS) menerusi pengilangan secara ‘fill and finish’ (pengilangan produk pukal kepada produk siap), yang pertama kali dilaksanakan di negara ini.

Beliau berkata, produk itu adalah sumber kedua kepada produk CoronaVac yang telah berdaftar dari pengilang Sinovac Life Sciences Co. Ltd., China.

“Pengilangan fill and finish produk CoronaVac oleh PLS adalah pencapaian terbaru Malaysia yang selama ini bergantung kepada produk vaksin dan produk plasma yang diimport. Diharapkan perkembangan ini dapat memacu pertumbuhan industri farmaseutikal tempatan dalam penghasilan produk-produk tersebut.

“Kementerian Kesihatan (KKM) ingin memaklumkan kelulusan pendaftaran secara bersyarat ini memerlukan syarikat pemegang pendaftaran produk iaitu Pharmaniaga LifeScience mengemukakan data-data tambahan dan terkini produk vaksin tersebut dari masa ke masa.

“Ia bagi memastikan keberkesanan dan keselamatannya sentiasa dikemas kini dan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) vaksin ini kekal positif,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Selain itu, beliau berkata, KKM sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi Covid-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.

Dr Noor Hisham berkata, kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk dewasa Malaysia mencapai imuniti kelompok selaras dengan sasaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/135116/KHAS/Covid-19/PBKD-lulus-pendaftaran-bersyarat-vaksin-Vero-Cell