Vaksin untuk ahli parlimen, maknanya parlimen sudah boleh bersidang – Mahfuz

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disarankan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mengemukakan cadangan agar Parlimen dapat bersidang pada Mac dan April tahun ini.

Ini kerana kata Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Mahfuz Omar, Ahli Parlimen antara individu terawal yang akan menerima suntikan vaksin Covid-19 dan sepatutnya sidang Parlimen sudah boleh dijalankan.

“Macam ini sidang Parlimen sudah boleh diadakan, sebab semua MP (Ahli Parlimen) akan disuntik vaksin.

“Sidang Parlimen digantung sebab Covid-19. Suntik vaksin untuk cegah jangkitan.

“Jadi, PM (Perdana Menteri) 109 sudah boleh menghadap Agong untuk kemukakan tarikh cadangan sidang Parlimen (agar) diadakan (pada) Mac dan April 2021,” katanya dalam satu hantaran Facebook yang mengulas pengumuman terkini Perdana Menteri.

Pagi ini, Muhyiddin memaklumkan bahawa semua Ahli Parlimen dan Adun termasuk dalam golongan pertama yang akan menerima vaksin Covid-19.

Beliau berkata, mereka akan menerimanya ketika fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, yang akan bermula 26 Feb ini.

Fasa pertama ini dijangka berjalan sehingga April dan disusuli dengan fasa kedua yang berjalan sehingga Ogos.

Fasa ini melibatkan 9.4 juta rakyat yang dikategorikan sebagai kumpulan berisiko tinggi. Mereka antaranya warga emas berusia 60 tahun ke atas, golongan yang mengalami masalah komorbiditi seperti penyakit kencing manis dan darah tinggi, serta golongan kelainan upaya.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/vaksin-untuk-mp-kalau-macam-ni-parlimen-dah-boleh-bersidang-kata-mahfuz/

COMMENTS

Wordpress (0)