Vaksin : Sultan Selangor berkenan terima suntikan hanya setelah selesai frontliners

Vaksin : Sultan Selangor berkenan terima suntikan hanya setelah selesai frontliners

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan untuk menerima giliran suntikan vaksin Covid-19 hanya selepas semua petugas barisan hadapan (frontliners) termasuk para doktor, jururawat, kakitangan hospital, anggota keselamatan, polis, tentera dan guru, mendapat suntikan vaksin berkenaan.

Tegas Baginda, keutamaan pemberian vaksin ketika ini harus ditumpukan kepada petugas-petugas barisan hadapan yang sentiasa berdepan risiko jangkitan yang lebih tinggi.

Justeru, sehingga semua petugas barisan hadapan mendapatkan suntikan vaksin masing-masing, Baginda sendiri akan terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa termasuk memakai pelitup muka, mengekalkan penjarakan fizikal lebih 1 meter serta duduk di rumah sekiranya tidak perlu untuk berada di luar.

Apa yang penting, Baginda berkenan menasihatkan sekalian rakyat Selangor khususnya dan rakyat Malaysia am-nya, agar mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 masing-masing seperti yang telah dijadualkan oleh Kementerian Kesihatan.

Baginda mengingatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan kumpulan-kumpulan tertentu yang mendakwa diri mereka sebagai anti-vaksin. Titah Baginda, usaha yang dilakukan kerajaan menerusi pemberian vaksin ini seiring dengan tuntutan agama dan amat wajar dilakukan demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

Namun demikian, meskipun telah mendapatkan vaksin kelak, Baginda mahu rakyat terus hidup dengan mengamalkan norma-norma baharu sehinggalah pandemik Covid-19 ini dapat dikawal sepenuhnya.

ISTANA ALAM SHAH
26 Februari 2021

Sumber :