Vaksin : Semua melalui temujanji, tiada ‘walk in’ untuk cuba nasib dibenarkan

Vaksin : Semua melalui temujanji, tiada ‘walk in’ untuk cuba nasib dibenarkan

Pemberian vaksin secara ‘walk-in’ tidak dibenarkan di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara, kata Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menunggu di mana-mana PPV termasuklah di PPV AstraZeneca (AZ) dengan harapan untuk mendapatkan vaksin yang tidak digunakan akibat ketidakhadiran penerima vaksin berjadual di pada hari ditetapkan.

CITF berkata, ia telah membangunkan satu mekanisme untuk menghindari pembaziran vaksin tanpa mengganggu perancangan logistik di PPV, selain dapat mengelakkan kesesakan terutama ketika kes Covid-19 harian meningkat.

CITF dalam satu kenyataan, hari ini, berkata secara amnya, semua PPV akan mempunyai senarai individu daripada pangkalan data yang akan mereka hubungi melalui pesanan ringkas atau telefon.

Katanya, individu dihubungi akan ditanya sama ada mereka berminat untuk mendapatkan vaksin dan sama ada mereka dapat hadir ke PPV pada hari itu.

“Bagi PPV AZ pula, satu senarai menunggu, iaitu senarai nama mereka yang telah menempah slot menunggu sewaktu penempahan untuk suntikan vaksin AstraZeneca digunakan sebagai asas.

“Mereka yang dipilih di bawah senarai ini akan dimaklumkan melalui notifikasi di MySejahtera, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau panggilan telefon.

“Oleh itu, CITF ingin menggesa orang ramai agar tidak hadir di PPV tanpa sebarang urusan dan janji temu serta tidak perlu untuk berlegar atau menunggu di PPV bagi mendapatkan vaksin tanpa janji temu,” katanya.

Terdahulu, tular dalam media sosial orang ramai bersesak di hadapan pintu pagar PPV Dewan Sri Guchil, Kuala Krai, di Kelantan yang berpunca daripada mereka yang sedang menunggu giliran bagi mendapatkan suntikan vaksin secara ‘walk in’, semalam.

Berita penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/05/705126/tiada-walk-untuk-dapatkan-suntikan-vaksin