UTP di kedudukan ke-60 ranking Universiti Ekonomi Pesat Membangun THE 2019

Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) berada pada kedudukan ke-60 dalam Ranking Universiti Ekonomi Pesat Membangun Times Higher Education (THE)  2019, menjadikannya universiti swasta utama Malaysia dalam ranking tersebut.

Institusi itu melonjak 17 kedudukan dan merupakan pencapaian terbaiknya sejak menyertainya pada 2017.

Naib Canselornya Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib dalam satu kenyataan hari ini berkata keputusan itu menunjukkan UTP berada pada kedudukan kedua selepas Universiti Malaya.

UTP merupakan universiti terbaik dalam penyelidikan dalam kalangan universiti di Malaysia dengan skor 30.7.

“UTP sentiasa memberi penekanan kepada penyelidikan dan inovasi (R&I), dan matlamatnya ialah menjadi rakan kongsi pilihan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk industri dan komuniti saintifik yang dihormati menjelang tahun 2025.

“R&I universiti ditubuhkan untuk memacu, memudahkan dan menggalakkan penyelidikan dan pembangunan universiti. Aktiviti R&I kami tertumpu kepada dua bidang iaitu Komuniti Pintar dan Kelestarian Tenaga. Kami mempunyai enam institusi penyelidikan dalam bidang disiplin khusus untuk kepentingan industri dan negara secara keseluruhan,” katanya.

UTP juga mahu menyediakan graduannya sesuai dengan Industri 4.0 dan berada di barisan hadapan penemuan teknologi yang baru muncul dalam bidang seperti nanoteknologi, robotik kecerdasan buatan dan Internet of Things (IoT).

Beliau berkata pencapaian itu merupakan hasil kerja keras, sokongan dan komitmen yang ditunjukkan oleh seluruh masyarakat universiti, rakan kongsi dan rakan usaha sama serta PETRONAS.

“Kami akan terus memberi penekanan terhadap strategi yang membawa kepada kepimpinan akademik, kepimpinan penyelidikan, pengalaman pelajar dan pengalaman operasi dalam usaha kami untuk menjadi terkenal di dunia,” katanya.