Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) hari ini menerima geran penyelidikan antarabangsa berjumlah RM2.2 juta melibatkan 10 projek penyelidikan tahun ini, kata Naib Canselornya, Prof Dr Raha Abdul Rahim.
Beliau berkata jumlah geran penyelidikan antarabangsa terbesar diperoleh menerusi syarikat dari Hong Kong yang bertapak di Malaysia iaitu Xinyin Solar Sdn Bhd sebanyak RM1 juta, iaitu RM800,000 untuk geran penyelidikan UTeM dan RM200,000 dimasukan ke Tabung Sumbangan Industri untuk kebajikan pelajar.
“UTeM turut berbangga apabila menjadi universiti pertama di negara ini berjaya memperoleh geran penyelidikan antarabangsa bersama University of Applied Sciences di Austria berjumlah RM412,000 yang akan dijayakan bagi tempoh 36 bulan.
“Universiti ini turut menerima projek bernilai RM729,306 dengan kerjasama University of Manchester tajaan Majlis Penyelidikan Sains Fizikal dan Kejuruteraan (EPSRC), United Kingdom dan RM100,000 daripada Maqo Technologies (M) Sdn Bhd iaitu syarikat antarabangsa yang terlibat dalam industri tenaga boleh diperbaharui,” katanya dalam kenyataan di sini.
Katanya usaha pengantarabangsaan UTeM terus diperkasakan melalui kerjasama penyelidikan dengan universiti dan industri dari luar negara dalam bidang tujahan universiti iaitu Teknologi Pembuatan Termaju yang meliputi bidang Teknologi Hijau, Kejuruteraan Sistem, Interaksi Manusia – Teknologi dan Teknologi Termaju.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim dalam kenyataan sama berkata, UTeM juga berjaya menerima geran padanan penyelidikan bersama universiti luar negara dari Thailand dan Indonesia dengan jumlah projek RM120,000.
Menurut beliau, projek berkenaan adalah ‘Study of Wood Polymer Composite for Sustainability Application’ bernilai RM60,000 dengan Prince of Songkla University, Thailand dan RM60,000 lagi dengan kerjasama Universti Sriwijaya, Indonesia.
Tambahnya dua penyelidik UTeM iaitu Dr Muhd Ridzuan Mansor dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dan Dr Norfariza Ab Wahab dari Fakulti Teknologi kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan berjaya memperolehi geran penyelidikan antarabangsa ASEAN NCAP Collaborative Holistic Research (ANCHOR) masing-masing bernilai RM30,000 dan RM18,800.
“Dua pensyarah UTeM iaitu Dr Nidzamuddin Md Yusof dan Dr Juffrizal Karjanto dari FKM turut mencipta kejayaan dan mengharumkan nama negara di Netherlands apabila projek tesis pengajian peringkat PhD dengan dana penyelidikan masing-masing RM40,000 mendapat pengiktirafan daripada University of Technology, Netherlands,” katanya.
Ujarnya UTeM amat mengalu-alukan penglibatan kerjasama dari pihak luar sama ada pihak industri, pihak swasta dan agensi kerajaan dalam mencapai visi dan misi universiti itu.