‘Usah membanding, fahami perjalanan parti lain’

‘Usah membanding, fahami perjalanan parti lain’

Setiausaha Agung AMANAH, Datuk Wira Dr Hatta Ramli mengingatkan anggota parti itu agar memahami perjalanan parti lain sesuai dengan muafakat dalam Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan itu berkata, setiap parti komponen PH memiliki kekuatan dan masalah tersendiri termasuk dalam konteks pemilihan parti masing-masing yang berbeza pendekatan.

“Saya tidak bersetuju apabila orang membandingkan AMANAH dengan parti yang lain. Kita perlu memahami perjalanan parti lain.

“Pemilihan dalam parti kita berdasarkan perwakilan. PKR misalnya adalah pemilihan melibatkan seluruh ahlinya. Saya difahamkan Bersatu juga bersifat satu ahli, satu undi bererti semua akan mengundi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Bicara Menteri di Jom Channel dalam slot bertajuk ‘AMANAH Teras PH’ dan ‘Usahawan Peneraju Kemakmuran Bersama’ baru-baru ini.

Sehubungan itu, Dr Hatta berharap ahli AMANAH terus bersatu mengukuhkan parti yang masih dianggap muda berbanding PKR dan DAP.

“Semangat parti lama dan parti baru tidak sama. DAP dan PKR parti lama. Jadi, tidak bolehlah bandingkan dengan AMANAH yang masih muda.

“Ahli-ahli AMANAH pun sedar, kita tidak mampu untuk berpecah. Jadi, kita perlu cuba rapatkan saf.

“Kita tidak tahu parti kita pada tahun-tahun mendatang. Sebaiknya, kalau kita dapat kekalkan seperti sekarang dengan dasar dan program yang baik, kita akan kekal,” tambahnya lagi.

Berita Asal https://malaysiadateline.com/usah-membanding-fahami-perjalanan-parti-lain/