Ura-ura kerjasama Umno, MP harap Anwar fokus kukuhkan gabungan pembangkang

Ura-ura kerjasama Umno, MP harap Anwar fokus kukuhkan gabungan pembangkang

Ketika tersebar pelbagai khabar – termasuk yang diragui kesahihannya – mengenai rundingan di antara Anwar Ibrahim dengan pemimpin Umno, lima anggota parlimen pembangkang memberi peringatan agar presiden PKR itu tidak cuba membina ‘istana pasir’.

Dalam kenyataan bersama itu mereka berkata pembangkang perlu mengambil iktibar daripada kewujudan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang juga laksana istana pasir.

Kata mereka kerajaan PN dibina daripada asas yang rapuh dan bertahan dengan ugutan berterusan serta resolusi Umno yang berubah-ubah.

“Jangan sampai kita menjadi seperti mereka,” kata kenyataan dibuat Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor Ramkarpal Singh, Darell Leiking (Warisan-Penampang) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar-Muda) Hannah Yeoh (DAP-Segambut) dan Maria Chin Abdullah (PKR-Petaling Jaya).

Dalam usaha mendapatkan semula kuasa daripada PN – yang dibentuk hasil kerjasama Bersatu dengan pelbagai parti yang tidak mendapat mandat dalam PRU lalu – Anwar dikatakan berunding dengan pemimpin Umno tertentu.

Ia disahkan oleh Anwar sendiri dan menegaskan ia masih di peringkat awal dan tiada sebarang keputusan atau kerjasama dicapai.

Beberapa pemimpin pembangkang menyatakan secara jelas mereka menolak kerjasama yang dibentuk dengan sokongan pemimpin kleptokrat atau ahli parlimen yang sedang berdepan tuduhan salah laku atau salah guna kuasa.

Anwar sebelum ini menegaskan dia memiliki jumlah sokongan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baru dan pada masa sama kedudukan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri yang mendapat sokongan majoriti kini diragui.

Menurut lima ahli parlimen itu mereka mahukan negara ini dibina semula dengan asas yang betul bagi memastikan ia tidak runtuh semula.

“Mendapatkan semula Putrajaya dengan membina mahligai pasir yang besar dan cantik dipandang tetapi mudah hancur dihempas ombak adalah satu lagi tindakan sia-sia,” kata mereka.

Menyedari wujudnya perkembangan kerjasama pihak pembangkang dan pimpinan Umno, lima anggota parlimen terbabit berharap usaha itu mempunyai agenda perjuangan untuk melakukan reformasi.

“Kerjasama yang mahu dibina mesti mempunyai satu cita-cita luhur dan sistem nilai yang sama agar ianya dapat bertahan lebih lama.

“Kami percaya bukan sahaja kluster mahkamah, malah kepimpinan Umno hari ini yang dilihat tidak memiliki cita-cita luhur dan sistem nilai yang sama yang kita perlukan untuk membina semula negara ini,” tambahnya.

Mengulas lanjut, lima ahli parlimen itu juga berkata, pihak pembangkang banyak membazirkan masa untuk mempersoalkan bilangan ahli parlimen yang memberi sokongan serta isu calon perdana menteri.

“Selepas setahun pengkhianatan Langkah Sheraton yang menyakitkan, kami mahu terus bergerak ke hadapan.

“Kita tidak pernah kekurangan bakat di kalangan ahli parlimen pembangkang.

“Kami mahu pemimpin pembangkang terus fokus menawarkan polisi yang boleh memenangi hati dan keyakinan rakyat Malaysia bagi menghadapi PRU akan datang,” kata mereka.

Berita penuh : https://m.malaysiakini.com/news/567119