Uptown Danau Kota : Kadar Sewa Lebih Murah Tanpa Orang Tengah

Operasi pemindahan Bazar Larut Malam Uptown Danau Kota menunjukkan keseriusan kerajaan dalam menamatkan budaya lesen atas lesen yang dilakukan pihak tertentu untuk memperoleh keuntungan lebih atas nama persatuan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad hari ini menegaskan, bahawa operasi pemindahan tapak yang sedang berjalan itu, demi menawarkan kadar sewa yang lebih murah kepada para peniaga berbanding sekiranya melalui orang tengah.

Malah katanya, lesen yang dimohon terus kepada DBKL adalah lebih berpatutan dan telus dengan kadar RM225 untuk makanan basah, manakala RM212 untuk barangan kering atau pakaian.

“Ia berbeza dengan harga yang dikenakan kepada penjaja sekiranya melalui orang tengah yang mengenakan kadar sewa di antara RM500 sehingga RM1,500 sebulan,” katanya dalam sidang media di Menara DBKL, hari ini.

(dari kiri) Datuk Mazlan Lazim, Datuk Noor Hisham Ahmad Dahlan  , Khalid Samad dan Datin Dr Tan Yee Kew

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Dr Tan Yee Kew; dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

Malah, lebih menyedihkan katanya, sewa ‘cekik darah’ itu juga mampu meningkat antara RM4,000 hingga RM5000 sebulan pada bulan Ramadhan yang akhirnya hanya menguntungkan ‘poket’ orang tengah.

Ahli Parlimen Shah Alam itu turut tidak menolak kemungkinan, terdapat usaha individu yang yang mahu menggagalkan usaha pemindahan tapak yang sedang berjalan.

Ini kerana katanya, sememangnya wujud cubaan individu yang membawa masuk lebih ramai peniaga baru ke tapak lama tersebut.

“Kita beri mereka tempoh yang sangat cukup sehingga 31 December ini untuk mereka berpindah ke tapak baharu di Bazaria Wangsa Maju.

“Tapi minggu lalu kita hadapi sedikit masalah, sebab sebahagian dari peniaga dah pindah, tapi masih ada sebahagian yang duduk tempat lama.

“Lagi sukarkan keadaan, ada ‘ketua’ yang nak gagalkan usaha ini dengan membawa masuk sehingga 200 peniaga baharu, ke tapak yang telah dikosongkan oleh peniaga lama,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, operasi pemindahan bazar berkenaan juga tidak sewajarnya dikaitkan dengan isu perkauman seperti yang tertular dalam media sosial baru-baru ini.

Malah katanya, kekecohan yang dikatakan melibatkan seorang lelaki mengamuk di Uptown Danau Kota seperti yang tersebar sama sekali tidak membabitkan mana-mana peniaga.

Dalam video yang ditunjukkan dalam sidang media hari ini, memperlihatkan seorang lelaki yang berang dan mengeluarkan kata-kata berunsur perkauman dengan menyebut Cina, DAP, dan Melayu.

“Rancangan yang telah kita laksanakan pada awal December sedikit terganggu kerana kita menghadapi bantahan yang agak keras daripada orang tertentu. Ini lah antara masalah yang kita hadapi dalam cubaan menempatkan peniaga di kawasan yang lebih baik.

“Rujuk video pada 5 December, mereka yang mengamuk ini bukan peniaga. Bila viral video itu, ia dijadikan isu perkauman. Saya nak pesan pada masyarakat, jangan terpengaruh dengan isu perkauman.

“Perlu tahu, tempat yang kita sediakan juga bukan percuma. Tapi, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah berbelanja, menyediakan tapak baru yang selesa untuk kebaikan peniaga.

“Ini sebenarnya sudah jadi mata pencarian untuk beberapa individu, jadi bila kita nak ubah dengan sewa tapak dan lesen terus kepada DBKL tanpa ada orang tengah, maka kita hadapi bantahan seperti itu,” ujarnya.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/uptown-danau-kota-tamatkan-budaya-orang-tengah-peniaga-nikmati-kadar-sewa-lebih-murah/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook