Malaysia bakal menjadi negara pertama mempunyai universiti dari Jepun dengan beberapa universiti di negara matahari terbit itu begitu berminat untuk membuka kampusnya di Malaysia, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahahir Mohamad.
Daripada beberapa universiti itu, University of Tsukuba dilihat yang paling “serius” sekarang dengan telah mengenalpasti tapak potensi di Kedah dan Selangor, katanya.
Beliau berkata, penubuhan universiti Jepun di Malaysia, yang hampir kesemua tenaga pengajarnya nanti terdiri daripada rakyat Jepun, akan dapat mengurangkan sekurang-kurangnya satu pertiga kos penghantaran pelajar ke negara ini.
“Kita dapati pelajaran di Jepun bukan sahaja untuk menerap ilmu tetapi juga untuk menerap budaya yang dipegang oleh orang Jepun yang memberi kejayaan kepada mereka. Tetapi untuk hantar penuntut kita ke Jepun ini terlalu mahal. Kita boleh hantar hadkan jumlah sahaja.
“Kalau bawa universiti ke Malaysia maka lebih ramai akan dapat manfaat dan negara miskin juga dapat hantar (pelajar ke Malaysia untuk belajar di universiti Jepun),” katanya pada wartawan Malaysia bagi mengakhiri lawatan kerjanya ke Fukuoka selama dua hari pada Khamis.
Menurut Dr Mahathir, Jepun tidak pernah membuka universiti luar daripada negara itu.
Mengenai sistem pengajian di universiti Jepun itu kelak, antara opsyen yang akan dipertimbangkan ialah sama ada tempoh pengajian adalah sepenuhnya dilakukan di Malaysia atau sebahagian tempoh pengajian akan membolehkan penuntut dihantar ke Jepun.
Mengenai University of Tsukuba itu, Dr Mahathir berkata kerajaan Jepun telah bersetuju untuk membenarkan universiti itu membuka kampus di Malaysia cuma universiti itu belum membuat pilihan sama ada di Kedah atau Selangor.
Menurut Dr Mahathir, Kedah, yang mempunyai bangunan dan tanah untuk universiti itu membuat tawaran antaranya tidak mengenakan sewa selama setahun.
Mengenai isu khat, Dr Mahathir berkata khat yang diajar bukan bahasa yang hendak digunakan tetapi sebagai ‘arts’ (seni).
“Khat ini sebagai arts, tulisan dia sahaja. Ini sebagaian daripada art yang dibuat,” katanya mengulas isu pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pembelajaran murid Tahun 4 yang menimbulkan polemik dan rasa tidak puas hati dalam kalangan pihak tertentu.
Menurut Dr Mahathir, pembelajaran tulisan khat itu diputuskan pada 2012 oleh kerajaan terdahulu.
“Saya tak tahu kenapa kini baru (isu khat) dibangkitkan. Masa dulu tak bangkit,” katanya.
BERNAMA