UNHCR sanggah kenyataan Hamzah

UNHCR sanggah kenyataan Hamzah

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menafikan ia meletakkan syarat tiada tangkapan untuk memberikan maklumat mengenai pelarian kepada kerajaan bagi tujuan vaksinasi Covid-19.

Mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin yang mendakwa UNHCR tidak ikhlas, jurucakap agensi itu berkata, ia tidak pernah menetapkan syarat sedemikian terhadap mana-mana kerajaan, walaupun ia menyokong tiada penahanan pelarian dan pencari suaka.

Hamzah, merujuk laporan sebuah portal berita mendakwa syarat itu dikenakan, pada Isnin berkata ketidakikhlasan UNHCR mengecewakan rancangannya untuk lebih 180,000 pelarian diberikan vaksin.

Katanya, pemegang kad UNHCR juga bersikap seolah-olah mereka terkecuali daripada undang-undang.

Jurucakap UNHCR di Kuala Lumpur, Yante Ismail memberitahu FMT, laporan berita yang dirujuk Hamzah itu salah.

Katanya, agensi itu bekerjasama rapat dengan kerajaan dalam tindak balas Covid-19 sejak penularan pandemik.

“Kami menyokong kerajaan Malaysia untuk tidak menahan pelarian dan pencari suaka, termasuk yang memiliki dokumen UNHCR tamat tempoh, khasnya kerana pelarian tidak dapat ke UNHCR akibat sekatan pergerakan di bawah PKP. Ada pula dalam proses pendaftaran dan belum mempunyai dokumentasi UNHCR.”

Yante berkata, agensi itu telah berkongsi data populasi pelarian bagi tujuan perancangan vaksinasi di peringkat daerah.

Mengulas dakwaan Hamzah yang pemegang kad UNHCR bertindak seolah-olah mereka bebas daripada hukuman, katanya, pelarian tertakluk kepada undang-undang di negara mereka berada, walaupun melakukan jenayah tidak akan menyebabkan mana-mana pelarian kehilangan status UNHCR mereka.

Beliau berkata, UNHCR menghargai kerjasama kerajaan dalam melindungi pelarian, walaupun Malaysia bukan sebahagian daripada Konvensyen Pelarian 1951.

Berdasarkan statistik akhir bulan lalu, seramai 179,570 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan UNHCR di Malaysia, dengan hampir 156,000 daripadanya berasal dari Myanmar dan hampir 103,000 daripadanya ialah etnik Rohingya. Selebihnya ialah etnik Chin dan etnik lain yang melarikan diri dari kawasan konflik atau penganiayaan.

Pelarian lain datang dari 50 negara, termasuk Pakistan, Yaman, Syria, Somalia, Afghanistan, Sri Lanka, Iraq dan Palestin.

Yante berkata, statistik itu tidak mencerminkan ketibaan baharu di Malaysia, tetapi jumlah itu berkurangan dengan ketara sejak 2013.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/16/tiada-syarat-untuk-bantuan-kami-unhcr-beritahu-hamzah/