Umno yang khianat, PH kekal dengan perjanjian dan prinsip – Khalid

Umno yang khianat, PH kekal dengan perjanjian dan prinsip – Khalid

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad berpendapat Umno di Perak perlu berbincang dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

Menurutnya, langkah itu selaras dengan penegasan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mahukan kestabilan politik dalam pembentukan kerajaan negeri.

“Sebenarnya cara untuk menjamin kestabilan hanya satu, Umno kena berbincang dengan PH.

“Tentukan syarat-syarat dan patuhinya untuk kerjasama antara Umno dan PH dalam tempoh dua tahun ini sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya dalam slot Bicara YB Khalid Abdul Samad (Siri 85) yang disiar menerusi Jom Channel FB Live malam tadi.

Untuk rekod, Umno Perak mempunyai paling banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu 25 daripada 59 kerusi.

Kedua paling banyak ialah DAP dengan 16 kerusi diikuti AMANAH lima kerusi DUN.

Selain itu, Bersatu (5), Pas (3) manakala masing-masing satu kerusi milik Gerakan dan Bebas.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, Sultan Perak mahukan sebuah kerajaan yang kukuh dan mantap dan boleh mentadbir negeri sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Penyelesaian yang menjamin kestabilan sehingga PRU-15 atau sekurang-kurangnya dua, tiga tahun lagi. Itu pesan Sultan Perak,” katanya berkongsikan maklumat yang diperoleh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) AMANAH Perak dalam mesyuarat Biro Politik AMANAH Nasional malam tadi.

Berkenaan keputusan usul undi percaya yang dikemukakan ADUN Pengkalan Bharu dari Umno, Datuk Abdul Manaf Hashim hingga menyaksikan kejatuhan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Khalid berkata itu satu yang pelik.

“Saya difahamkan semasa penghujahan memang memuji Peja (Ahmad Faizal) sebagai Menteri Besar.

“Tetapi apabila tiba kepada undi, yang membawa usul undi percaya pun tidak menyokong usulnya sendiri. Pelik betullah,” katanya sambil ketawa dalam slot bertajuk Langkah Perak dan Implikasinya itu.

Khalid berkata, tidak pelik apabila PH tidak menyokong Peja dalam usul undi percaya itu selepas Timbalan Presiden Bersatu berkenaan mengkhianati PH pada Februari lalu.

“Bagi kami (PH) memang tidak sokong Peja kerana dia telah mengkhianati kita. Usul yang dibawa oleh Umno ialah usul undi percaya. Jadi, tidak pelik jika PH menolak.

“Ini satu teka-teki bagi Umno selepas menjatuhkan Peja kerana Umno tidak berunding dengan PH,” ujarnya.

Ahli Parlimen Shah Alam itu juga menyifatkan tumbangnya Peja sebagai Menteri Besar bukan kerana PH tetapi hasil pengkhianatan Umno.

“Dulu masa Peja nak lompat mahu bawa lima ADUN Bersatu, Umno telah setuju biarlah dia jadi Menteri Besar.

“Memang Umno mengkhianati Peja dan jatuhkan Peja. Ini bukan kerja khianat PH kerana PH berpegang pada janji dan prinsip,” tambah Khalid lagi.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/kemelut-politik-perak-umno-mesti-bincang-dengan-ph-kata-khalid/

COMMENTS