Umno sudah terlalu banyak bertolak ansur dengan PN – Pemuda

Umno sudah terlalu banyak bertolak ansur dengan PN – Pemuda

Tindakan UMNO mempertimbang untuk menarik diri daripada menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan disebabkan tamak kuasa seperti didakwa pihak tertentu.

Ketua Pemuda UMNO Perak, Mohd Ariff Abdul Majid sebaliknya berkata, keputusan itu dibuat untuk kebaikan dan masa depan UMNO setelah banyak berkorban serta bertolak ansur demi menjaga kerajaan PN.

Beliau turut yakin bahawa keputusan Biro Politik UMNO semalam dibuat berdasarkan pendirian sebelum ini bahawa pembentukan Kerajaan PN hanya bersandarkan sokongan oleh Ahli-Ahli Parlimen termasuklah daripada parti itu.

“UMNO sebuah parti yang berjiwa besar. Kita telah banyak berkorban untuk kerajaan PN kerana menerima apa sahaja keputusan dibuat oleh Perdana Menteri. Jika dilihat dari segi jumlah kerusi sepatutnya UMNO boleh dapat banyak kelebihan dalam kerajaan.

“Sepatutnya tidak timbul soal UMNO tamak kuasa, gila jawatan dan sebagainya Tidak ada apa-apa yang mengikat UMNO untuk membuat sebarang keputusan sama ada untuk kekal dalam kerajaan atau sebaliknya,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Mohd Ariff berkata demikian sebagai mengulas mengenai keputusan UMNO membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong PN dan akan memberi syarat baharu kepada kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO timbang tarik diri sokong PN

Dalam pada itu, Mohd Ariff turut menyambut baik keputusan parti untuk memperkasa dan mendaftarkan Muafakat Nasional (MN) merupakan satu langkah tepat.

Katanya, pertimbangan itu akan mengukuhkan lagi kerjasama UMNO dan Pas sekali gus mampu membawa keyakinan kepada rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/105350/BERITA/Politik/UMNO-sudah-banyak-bertolak-ansur-untuk-PN

COMMENTS