Umno sokong belanjawan 2021 – Nazri Aziz

Umno sokong belanjawan 2021 – Nazri Aziz

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memberi jaminan semua Ahli Parlimen UMNO kecuali Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah akan menyokong bacaan kali ketiga Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021.

Menurut Nazri, kerajaan memerlukan perbelanjaan untuk membantu rakyat dan juga melawan pandemik COVID-19.

“Kami tidak boleh menolak Belanjawan ini kerana ia akan memberi kesan kepada perbelanjaan untuk membantu rakyat dan usaha kerajaan melawan COVID-19.

“Ia adalah komitmen kami demi rakyat bukan kerana menyokong Perdana Menteri sedia ada,” katanya kepada Astro AWANI.

Selain Nazri, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan memberi jaminan akan menyokong bacaan kali ketiga Belanjawan 2021.

Menerusi akaun Twitternya, Ahmad Maslan menjelaskan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz juga sudah melaksanakan tugasnya dengan baik.

“Adakah saya akan undi Bajet 2021 di Dewan Rakyat? Jawapannya ‘ya’ saya sokong Belanjawan 2021 ini dan mengundi agar ianya diluluskan.

“Menteri Kewangan telah laksana tugas dengan baik. Tentang KWSP dan moratorium masih boleh dirunding dengan pihak-pihak yang berkaitan jika ada syarat-syarat yang sukar,” katanya.

Bacaan kali ketiga Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat mendapat perhatian apabila terdapat ura-ura ia akan digagalkan oleh blok pembangkang dengan kerjasama beberapa Ahli Parlimen kerajaan.

Dalam satu kenyataan media pada Isnin, Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk menolak Belanjawan 2021 dalam pengundian kali ketiga di Dewan Rakyat esok.

Gabungan itu juga menggesa semua ahli parlimen daripada pembangkang mahupun kerajaan untuk turut sama menolak Belanjawan 2021.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-politik/undi-belah-bahagian-umno-sokong-belanjawan-2021-demi-rakyat-nazri-aziz-273210

COMMENTS