Umno sembang je lebih, sebenarnya masih bergantung dengan Bersatu

Umno sembang je lebih, sebenarnya masih bergantung dengan Bersatu

Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, kerajaan sedia ada tidak mampu untuk kekal utuh sekiranya UMNO membuat keputusan untuk memutuskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurut beliau, kedua-dua parti itu memerlukan antara satu sama lain memandangkan kerjasama membabitkan beberapa parti yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini berada pada keadaan yang goyah selepas tindakan beberapa Ahli Parlimen daripada UMNO menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kata bekas Perdana Menteri itu, UMNO hanya dilihat boleh memutuskan kerjasama dengan Bersatu sekiranya membentuk satu kerjasama atau penjajaran baharu bersama pihak tertentu yang memungkinkan mereka mempunyai majoriti yang cukup untuk mengambil alih pentadbiran negara.

“UMNO tak bekerjasama dengan Bersatu, Bersatu akan jatuh… (apabila) Bersatu jatuh, UMNO pun jatuh kerana dia pun bergantung kepada Bersatu seperti Bersatu bergantung kepada dia.
“Dia (UMNO) cuma boleh tarik diri dari Bersatu kalau dia ada kumpulan lain yang bekerjasama dengan dia dan mempunyai cukup bilang untuk menubuhkan kerajaan, tetapi setakat (ini) tak ada sesiapa yang cukup bilang boleh bekerjasama dengan UMNO jadi UMNO ‘cakap saja’ bila mai undi dia terpaksa sokong Bersatu kalau dia tidak mahu (sokong) jatuh,” kata Ahli Parlimen Langkawi itu lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menerima suntikan vaksin COVDI-19 di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Langkawi, di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Dr Mahathir menyifatkan gabungan PN, UMNO dan beberapa parti lain yang kini berada di pihak kerajaan hanyalah satu bentuk kerjasama yang tertumpu kepada persedian menghadapi pilihan raya semata-semata.

Tindakan itu, jelas beliau, amat berbeza jika dibandingkan dengan kerjasama yang dibentuk melalui Barisan Nasional dan Parti Perikatan sebelum ini yang disifatkan beliau sebagai gabungan yang sebenar.

“Perikatan Nasional gabungan baharu dan mereka nampak tak begitu bergabung dengan kemas, ada pendapat yang berbeza antara mereka.

“UMNO walaupun masuk Muafakat (Nasional) dengan Pas tapi tak masuk dengan Perikatan Nasional, jadi mereka cuma buat perjanjian itu untuk pilihan raya sahaja bukan satu gabungan yang sebenar seperti dulu kita ada Barisan Basional kita ada Perikatan, itu betul-betul kerjasama, ini cuma nak hadapi pilihan raya, nak cari kemenangan,” kata beliau lagi.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan harapan agar gabungan beberapa parti Melayu yang membentuk kerajaan PN terus kekal dan utuh sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan parti lain yang tidak menyertai PN terutama UMNO untuk membuat sebarang keputusan mengenai kerjasama terbabit.
UMNO pula dilaporkan telah menghantar surat kepada Muhyiddin pada 26 Februari lalu berhubung keputusan Majlis Tertinggi parti itu untuk menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan PN menjelang PRU15.

Berita Penuh :https://www.astroawani.com/berita-politik/umno-cakap-saja-kalau-berpisah-dengan-bersatu-mereka-akan-jatuh-tun-m-286637