Umno sekarang nak berkawan dengan siapa selepas Pas jumpa kawan baru?

No DAP, no anwar. Umno juga tolak Bersatu. Siapa yang Umno nak. PAS kah? Jangan hidung tak mancung. PAS sudah jadi “isteri” orang.

Ya, Umno yakin boleh menang sendirian.

Jangan lupa Umno dan BN sudah tak ramai rakan kongsi. Takut tak tercapai tangan. Nak harap MCA dan MIC sama seperti mengharapkan buah yang tidak gugur kerana ada seperti tidak ada.

Hanya tinggal empat komponen. Itu pun keikhlasan masih diragui bila sampai masa.

Nak berangan untuk dapat kuasa balik, masih samar-samar kerana menang pun belum tentu. Jangan kalut untuk menamakan calon PM kerana masih jauh harapan itu. Ketika BN kukuh dan kental kerusinya jauh lebih banyak.

Kini Umno ada berapa kerusi dan jangan harapkan MCA dan MIC kerana mereka menang di kerusi majoriti Melayu.

Sampai bila kecut dan terlentang bila lawan DAP di kawasan majoriti Cina.

MCA terkangkang dikerjakan DAP dan hanya tumpang sekaki kekuatan Umno. Kepada Umno, MCA seperti tiada beban batu digalas dan ibarat memikul biawak hidup.

Jarang pula kita dengar ada mesyuarat MN.

Mana pergi MN, sudah macam tak ada nyawa lagi. Dulu sibuk benar mesyuarat, sekarang senyap.

PAS lebih suka PN, dan Umno juga nampak tidak boleh menerima PN. Umno masih gagah kata mereka dan boleh solo tanpa Bersatu dan PN. Berjuanglah jangan jadi anjing buruan. Sudahnya bagaimana?

Siapa bakal PM tentu serba tak kena kerana sukar nak jawab.

Nak kekalkan Zahid, khabarnya bukan seorang yang mengintai dan kepingin jawatan menjelang pertandingan.

Kalau menang alhamdulillah tapi tetap tak selamat.

Kalau Zahid Kekal tak tahu pula nasibnya bagaimana apabila berdepan 87 tuduhan. Apakah akan senasib Najib Razak?

Macam mana Umno nak taruh harapan. Belum pasti. Bimbang berkecai.

Kerana Itu Annuar Musa sudah sedia. Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air. Dia siap untuk berdayung kerana enggan lemas kalau perahu tenggelam.

Annuar sedang baca dan sudah mengira, dua campur dua empat maka tiada salah “melompat” jika tidak, tentu hilang tempat.

Apakah bacaan Annuar tepat? Kalau ikut sifirnya Annuar dia sudah tidak lagi sepakat malah dia sudah nekad.

Beranikah Umno memecat mereka yang sudah menongkah arus dan tidak sependapat. Kalau ini terjadi maka Umno terus bergelora dan bahteranya tidak stabil di tengah ombak besar. Umno kena berani. Umno diajar makan beras dan bukan menelan antah beras.

Kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai. Namun ia seperti terlambat kerana musuh sudah bersiap dan menanti penuh sedia menunggu gendang dipalu.

Nak berseorangan sudah jelas akan tempang. Tolak DAP dan terima Anwar maka Anwar akan berkata tanpa DAP ia umpama makan nasi tiada kuah. Tersepit lagi Umno.

Nak terima DAP dengan alasan jajaran baru, Melayu akan haru-biru.

Akhirnya Umno hilang kawan. Umno hilang rakan kerana rakan makin selesa ditampuk kuasa dan malas untuk angkat punggung kembali seperti dulu berada di bawah satu bumbung.

Mana mungkin BN khususnya Umno akan bersahabat dengan PH yang dianggap gagal selama 22 bulan. Tergelak sakan kalau ini alasan untuk menghalalkan cara.

Dalam kabinet dan kerajaan PN sekarang, ada ramai menteri yang dulunya PH dan dianggap gagal serta menjahanamkan pentadbiran oleh kalangan pemimpin Umno.

Ratib PH gagal 22 bulan enak didengar hingga hari ini. Gagal itu, gagal ini. Semuanya salah PH. Mereka lupa dan makin lupa atau buat buat lupa.

Apakah Umno anggap kalangan menteri PH ketika mereka bersama PH gagal tapi bersama PN cemerlang? Atas sebab itu ahli parlimen Umno terus menyokong dan setia dalam kabinet?

Bertahan dan pertahan malah ada yang sanggup lawan presiden sendiri. Biar derhaka kepada pemimpin demi rakyat, kata mereka.

Penganalisa seperti saya dapat memberi jawapan berbanding mereka yang tugasnya mempertahankan big bos tapi penyudahnya langsung tidak meyakinkan.

Alasan penyatuan dan demi survival Melayu sudah semakin lunak menjelang saat tibanya PRU15. Namun rakyat termasuk orang Melayu semakin kenal mana satukah yang kuat berkhidmat dan yang mana menjadi paku karat. Paku karat tidak berguna dan bahaya kalau terpijak bimbang terkancing gigi.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/562129

COMMENTS

Wordpress (0)