Umno nak bercerai tapi tak mahu lafaz talak, kata ahli parlimen Umno lompat Bersatu

Umno nak bercerai tapi tak mahu lafaz talak, kata ahli parlimen Umno lompat Bersatu

Keputusan UMNO untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan hanya bekerjasama dengan PN sehingga Parlimen dibubarkan diibaratkan ‘ingin bercerai tapi enggan melafazkan talak’.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Rosol Wahid berkata, sebagai rakan sekutu dalam Perikatan Nasional (PN), beliau menghormati keputusan yang dibuat parti berkenaan.

Bagaimanapun katanya, timbul persoalan sama ada keputusan yang dibuat itu secara kolaboratif atau keputusan peribadi yang dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Cuma menjadi persoalan besar, kalau dibuat secara kolaboratif, kenapa UMNO Perlis tak setuju dengan keputusan Presiden? Kenapa parti komponen MIC, MCA juga tidak setuju? Itu kita tak boleh jawab. Yang boleh jawab, Presiden UMNO dan Majlis Tertinggi UMNO,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kempen Norma Baharu Covid-19 Sektor Peruncitan di Pasar-Pasar Utama peringkat Pasar Besar Kedai Payang di sini, pada Jumaat.

Jelas Rosol, di pihak Bersatu, matlamatnya adalah jelas iaitu ingin bersatu dan berpadu dengan agama, bangsa serta negara, bagaimanapun ia terpulang kepada UMNO untuk membuat keputusan.

“Kita sudah berpadu dan orang Melayu juga sokong tetapi tiba-tiba ada parti yang kata perjuangkan Melayu, agama dan bangsa tak nak bersama. Ini pelik tapi benar.

“Saya merasakan UMNO nak bercerai tapi tak nak lafazkan, ia macam tersekat. Ibaratnya benci tapi sayang. Kita tak boleh nak pujuk tapi kita berdoa agar UMNO diberi hidayah dan berfikir balik keputusan itu,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan yang dibuat UMNO tidak akan menjejaskan pendirian gabungan itu.

Menurutnya, apa yang lebih utama adalah negara dapat diurus dengan baik dan Malaysia mampu menangani pandemik Covid-19.

“Bagi kami di GPS, kita tak nak banyak isu-isu politik kerana di Sarawak, tumpuan kita kepada perkara yang lebih penting.

“Terlalu banyak politik memang tak baik bagi negara kita. Keputusan yang dibuat, terpulang kepada UMNO. Bagi GPS, ia tak beri kesan.

“Cuma kita akan memastikan kalau boleh bersama dengan mana-mana pihak yang membentuk kerajaan kerana kita inginkan kerajaan yang stabil untuk kebaikan kita semua,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan Ahmad Zahid telah menghantar surat berkaitan keputusan parti itu pada 26 Februari lalu.

Susulan itu, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu telah mengadakan satu mesyuarat khas yang dipengerusikan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis bagi membincangkan mengenai hubungan parti itu dengan UMNO yang juga rakan kerjasamanya di dalam kerajaan PN.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/127016/BERITA/Politik/UMNO-ibarat-nak-bercerai-tapi-enggan-lafaz-talak