Umno BN kemaruk nak buat PRN di Melaka, dakwa bekas Adun

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundor, Datuk Nor Azman Hassan mendakwa UMNO dan Barisan Nasional (BN) begitu ‘terdesak’ untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) di Melaka.

Katanya, beliau dan tiga lagi ADUN sebenarnya menolak untuk PRN kerana bimbang dengan pandemik COVID-19 walaupun mereka menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata, PRN Melaka boleh dielakkan jika Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dibubarkan, sebaliknya menyerahkan tampuk pemerintahan kepada pemimpin selain dari UMNO.

Umno BN kemaruk nak buat PRN di Melaka, dakwa bekas Adun

“Kami berempat memang tidak mahu PRN Melaka diadakan kerana pandemik COVID-19 masih bermaharajalela dan mengancam nyawa kita.

“Bagaimanapun, UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang kemaruk ingin mengadakan PRN sedangkan ia boleh dielakkan jika DUN tidak dibubarkan dan pentadbiran negeri diserahkan kepada pemimpin lain, selain UMNO dan BN,” katanya kepada BH, hari ini.

Pada 4 Oktober lalu, kerajaan Melaka diterajui BN tumbang selepas bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, bersama Nor Azman dan dua bekas ADUN Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Sulaiman Md Ali.

Selain Idris dan Nor Azman, dua bekas ADUN terbabit adalah Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Susulan itu, UMNO melucutkan keahlian Nor Azman dan Idris atas alasan terbabit dalam gerakan menumbangkan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Nor Azman enggan menjelaskan pemimpin yang didakwanya layak untuk menggantikan Sulaiman bagi menerajui kerajaan negeri.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, semalam berkata, PRN tidak sepatutnya berlaku kerana perhatian sekarang sepatutnya tertumpu kepada usaha menangani pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi.

Mengulas lanjut, katanya berdasarkan pengalaman dijangkiti COVID-19 pada 13 September lalu, beliau tidak mahu pandemik itu menjangkiti orang lain kerana ia amat menyeksakan.

“Selepas disahkan positif COVID-19 pada 13 September lalu, saya menjalani kuarantin kendiri tetapi terpaksa dimasukkan ke wad Hospital Melaka pada 22 September selepas muntah dan pening.

“Oksigen dalam badan turun hingga bawah 80 peratus dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan. Alhamdulillah Allah beri peluang untuk saya bernafas dan dibenarkan keluar wad pada 28 September lalu,” katanya.

Nor Azman mendakwa, PRN boleh dielakkan jika Speaker DUN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh tidak tergesa-gesa mengumumkan pembubaran DUN dengan alasan ia dipersetujui Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Bagaimanapun, jika PRN diadakan, beliau akan mempertahankan kerusi DU Pantai Kundor yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/10/874554/umno-bn-mahu-prn

BACA JUGA : Menteri minta semua pihak beri peluang kepada Danesh Raj

COMMENTS

Wordpress (0)