1. Isu penindasan etnik Uighur mula mendapat tempat di media antarabangsa selepas bermula trade war di antara US dan China. Maka banyaklah laman web dan video klip Youtube baru muncul untuk menghukum China yang ‘menindas umat Islam’.
2. Sebenarnya etnik Uighur telah terpinggir sejak wilayah Turkistan Timur itu dijadikan sebagai wilayah Xinjiang (bermaksud Sempadan baru) oleh China sejak 1945. Wilayah yang asalnya di bawah penguasaan Khilafah Uthmaniyyah seperti wilayah-wilayah lain itu terabai sejak khilafah mula lemah pada awal abad ke 18 dan abad ke 19.
3. Khilafah yang menjadi penaung umat Islam itu terus tersungkur pada pada abad ke 20 (secara rasminya pada 1924). Ketika kejatuhan khilafah, hampir semua wilayah orang Islam dijajah penjajah asing. Salah satunya ialah wilayah Turkistan Timur yang sekarang dikenali sebagai Xinjiang.
4. Umat Islam Uighur pula lebih menumpukan pendidikan agama, tahfiz, tariqat tasauf zikir dan kurang memberi perhatian kepada bidang2 kemahiran hidup, perniagaan dan pembangunan negara. Bidang2 keduniaan itu terbiar kepada kaum lain, khususnya dari kaum Han.
5. Apabila status sosio ekonomi antara kaum sudah tidak seimbang, di mana orang asal Uighur miskin dengan peluang pekerjaan terhad di bidang pertanian dan penternakan dan orang pendatang Han menguasai perniagaan dan ekonomi negara, maka berlaku ketidakpuasan hati yang akhirnya membawa kepada ketegangan kaum dan keganasan.
6. Sebilangan orang Uighur menubuhkan satu gerakan perjuangan Islam yang digelar East Turkistan Islamic Movement atau ETIM. Sejak 3 dekad yang lalu perjuangan mereka membawa kepada perjuangan bersenjata dan letupan bom yang membunuh orang awam, termasuk orang Islam. Bahkan ada di antaranya imam ternama kaum Uighur sendiri dibunuh kerana dikatakan tidak menyokong perjuangan jihad bersenjata.
7. Xinjiang asalnya diberi taraf autonomi atau pemerintahan sendiri oleh China di mana mereka bebas mengamalkan agama, adat dan budaya mereka termasuk tulisan huruf Arab boleh dilihat di mana2 ceruk wilayah itu. Namun setelah kumpulan bersenjata masuk dan berkempen untuk pemisahan wilayah, sudah tentu China campur tangan untuk melindungi kaum Han yang asalnya datang dari wilayah China. Apatah lagi keadaan huru-hara memberi kesan buruk kepada semua kaum, termasuk etnik Uighur sendiri.
8. Apabila tentera dan polis China diberi lesen untuk menguatkuasakan peraturan keamanan, sudah tentu anasir bersenjata dan disyaki terlibat dengan gerakan pemisahan akan menerima akibat buruk. Ia hampir sama dengan Gerakan Acheh Merdeka dan gerakan pemisah di Selatan Thailand dan Mindanao.
9. Sekarang apabila masyarakat di selatan Thailand dan Mindanao tidak lagi terlibat atau menyokong gerakan bersenjata, maka mereka boleh hidup lebih aman dan wilayah mereka juga dibangunkan pemerintah (walaupun tidak semaju wilayah lain).
10. Pada pandangan saya, buat masa ini umat Islam minoriti di bawah pemerintah orang bukan Islam tak perlu berjuang secara bersenjata atau menuntut untuk memisahkan wilayah diduduki menjadi negara merdeka. Sebaliknya mereka perlu mengubah paradigma fahaman agama mereka daripada fahaman dogmatik kepada faham progresif yang mengutamakan pembangunan pendidikan seimbang di antara tuntutan akhirat dan dunia.
11. Berikanlah pendidikan kepada wanita kerana merekalah yang mendidik anak-anak dan generasi baru. Jika wanita difatwakan tidak boleh keluar rumah (termasuk keluar untuk menuntut ilmu) kerana dibimbangi merosakkan kaum lelaki, maka sampai bila pun wanita dan masyarakat itu tidak akan berubah. Wanita adalah rakan lelaki dalam pembangunan negara, bukan alat untuk memuaskan nafsu lelaki semata-mata.
12. Pendidikan itu pula jangan hadkan kepada pendidikan agama dan tahfiz sahaja. Ilmu Allah s.w..t yang disediakan untuk manusia jauh lebih luas daripada ilmu agama atau hafazan Quran dan hadis. Semua ilmu yang berguna untuk manusia adalah mulia dan mendapat pahala sesiapa yang mempelajari dan menyebarkannya kepada orang lain. Pakar dan profesional dalam bidang selain bidang agama juga layak digelar ulama jika mereka takut dan taat kepada Allah s.w.t., bukan hanya lulusan bidang pengajian Islam dari Timur Tengah atau fakulti Islam IPT dalam negara sahaja layak digelar ulama.
13. Akhir kata, anda tidak mungkin memahami isu Uighur secara hakikat jika anda tidak banyak membaca atau cepat bosan membaca catatan sejarah umat Islam yang panjang. Maka akibat kurang membaca, anda akan mudah terpedaya dengan panji palsu ‘Islam ditindas oleh China’. Sedangkan penjulang panji itu juga adalah kuasa yang telah dan sedang menghancurkan saudara kita di Palestin, Syria dan Yaman.
14. Anda mungkin bersemangat dengan laungan Mesut Ozil atau Zakir Naik dan anda mengecam atau menghina pihak lain yang ‘tidak selantang’ kedua-duanya membela umat Islam kononnya. Tetapi soalnya, adakah anda telah memahami sesuatu isu daripada akar umbinya?
Ustaz Ali Bin Muda
Sumber : https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3433926529953019&id=100000071166710