Ubah laluan ECRL, tindakan Putrajaya macam pembuli besar – Exco Selangor

Ubah laluan ECRL, tindakan Putrajaya macam pembuli besar – Exco Selangor

Exco Selangor dan Negeri Sembilan mengkritik Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong kerana bertegas melaksanakan Jajaran Utara projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

Exco Selangor Teng Chang Khim menyifatkan Putrajaya bertindak seakan “pembuli besar” dan mengatakan kerajaan negeri tidak akan membantu perolehan tanah untuk projek tersebut.

“Selangor tidak akan melakukan perolehan tanah untuk kerajaan persekutuan jika ia bertegas mahukan Jajaran Utara untuk ECRL (yang dicadang ketika) era BN itu.

“Kerajaan persekutuan bertindak seperti pembuli besar untuk membuat keputusan secara sepihak setelah gagal meyakinkan kerajaan negeri mengenai Jajaran Utara,” katanya pada catatan Facebook.

Kerajaan negeri mempunyai bidang kuasa atas tanah.

Teng mengulas Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong yang sebelum ini berkata kementerian itu berhasrat meneruskan ECRL walaupun Selangor menentang Jajaran Utara.

Wee berkata dia kesal penentangan berterusan Selangor walaupun kementeriannya telah bertemu dengan agensi negeri sebanyak 37 kali selama sembilan bulan terakhir untuk menyelesaikan kebimbangan mereka.

Wee menegaskan isu-isu yang dibangkitkan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah juga telah ditanganinya

Malaysiakini telah menghubungi Pejabat Menteri Besar Selangor Amirudin Shari untuk mendapatkan maklum balas.

‘Negeri Sembilan tercicir’

Sementara itu, Exco Negeri Sembilan Teo Kok Seong menuduh Wee menganaktirikan negeri itu.

Jajaran Utara tidak melalui Negeri Sembilan tidak seperti Jajaran Selatan sebelum ini yang melintasi negeri itu.

“Langkah ini untuk kembali ke jajaran ECRL yang asal sebagaimana yang diusulkan oleh pentadbiran BN itu bermaksud untuk mengecualikan Negeri Sembilan.

“Ini tindakan diskriminasi terhadap orang Negeri Sembilan. Pengumuman ini meletakkan perbezaan politik melebihi kepentingan nasional […],” kata Teo pada satu kenyataan.

Oleh itu, dia mendesak Putrajaya mempertimbangkan semula keputusannya.

Teo memegang portfolio exco kesejahteraan bandar, perumahan, kerajaan tempatan dan kampung baru.

‘Desakan Wee mencurigakan’

Sementara itu, Teng berkata Selangor telah menyelesaikan “kerja-kerja awal” perolehan tanah untuk Jajaran Selatan ECRL.

Exco pelaburan, perindustrian dan perdagangan, perusahaan kecil dan sederhana itu membidas Putrajaya kerana membuang masa.

Dia juga mempersoalkan desakan Wee terhadap Jajaran Utara ECRL.

“Desakan terhadap Jajaran Utara dan tindakan tergesa-gesa kementerian tidak dapat dijustifikasikan dan jelas mencurigakan,” kata Teng.

Wee mengadakan sidang media hari ini menggariskan kelebihan penjajaran laluan terbaru projek ECRL, yang dijuluki “ECRL 3.0”.

Katanya, bukan saja kosnya lebih murah walaupun jaraknya 25km lebih jauh, ia juga akan membawa lebih banyak kargo dan penumpang.

Menurutnya, dijangkakan cuma terdapat sedikit kesan negatif projek ini terhadap masyarakat setempat dan alam sekitar.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/569564