Tular wanita mati di Miri kerana vaksin, ini penjelasan

Tular wanita mati di Miri kerana vaksin, ini penjelasan

Tular wanita mati di Miri kerana vaksin, ini penjelasan

Kes kematian seorang wanita dalam kejadian di Hospital Miri pada 26 Jun lalu bukan disebabkan pengambilan vaksin COVID-19, kata Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed.

Sebaliknya, jelas Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak itu, hasil siasatan awal punca kematian wanita berusia 57 tahun tersebut mendapati terdapat tanda-tanda serangan jantung berlaku dua atau tiga hari sebelum kematian.

Tegasnya, laporan bedah siasat pada 27 Jun lalu juga mendapati tiada tanda-tanda anafilaksis akibat pengambilan vaksin ditemui.

“Kes kematian tersebut masih di dalam siasatan Hospital Miri dan sedang menunggu keputusan daripada ujian yang dijalankan selanjutnya.

“Sebagai makluman, kes merupakan seorang wanita berumur 57 tahun dengan sejarah ko-morbid penyakit kencing manis dan darah tinggi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Semalam tular di media sosial mengenai kematian wanita itu yang didakwa berpunca selepas pengambilan vaksin COVID-19.

Selain itu, tambah Dr Mohamed Sapian, mangsa sebelum itu menerima suntikan vaksin pada pukul 9.20 pagi, 26 Jun 2021 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam Hospital Miri selain melaksanakan saringan awal dan persetujuan wanita itu.

Malah, katanya, ketika dalam pemantauan di zon pemerhatian selepas divaksin, wanita itu mengadu loya, kesejukan dan muntah pada pukul 9.30 pagi sebelum dirawat di zon resusitasi oleh pakar perubatan kecemasan.

“Walau bagaimanapun, keadaan kesihatan wanita tersebut terus merosot dan telah dipindahkan ke unit rawatan kecemasan (ICU), Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Rawatan kecemasan telah diberikan secara berterusan selama 40 minit tetapi individu tersebut disahkan meninggal dunia pada hari yang sama pada pukul 11.10 pagi,” terangnya.

Sehubungan itu, Dr Mohamed Sapian juga berpesan agar orang awam tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes tersebut dan mendapatkan maklumat rasmi daripada sumber yang disahkan.

Berita Penuh :https://www.astroawani.com/berita-malaysia/wanita-mati-di-hospital-miri-bukan-disebabkan-vaksin-305647

Jika Anda Terlepas:KWSP : Permohonan pengeluaran i-Citra dibuka 15 Julai