Tular video dakwa mayat penuhi lantai bilik di Hospital Klang.Sebuah kontena bagi penyimpanan mayat disalurkan kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini.
Pemberian tersebut tular menerusi tiga video berdurasi antara 37 saat sehingga 2 minit termasuk keadaan terkini jumlah mayat yang banyak di HTAR.
Berdasarkan video awal, seorang lelaki menyatakan kontena tersebut dibeli pada harga RM35,000 khas bagi memudahkan pengurusan mayat mereka di hospital tersebut.
Tangkap layar status Facebook HTAR berkenaan pemberian kontena daripada MIC.
Bagaimanapun, lelaki tersebut juga menunjukkan rasa tidak berpuas hati apabila bantuan tersebut tidak diterima pihak HTAR.
“Kita hendak bantu pihak hospital. Mula-mula kata okay selepas tiga jam, pengarah hospital tolak pula (bantuan) dengan mengatakan esok (hari ini) sebanyak lapan kontena datang.
“Pada malam ini, kita datang supaya jenazah-jenazah ini diletakkan di tempat selesa walaupun sudah telah menjadi mayat,” katanya.
Bagaimanapun, HTAR menerusi laman Facebooknya pada setengah jam lalu kemudiannya memaparkan video daripada lelaki sama menunjukkan pemberian tersebut telah diterima.
Menerusi video itu, lelaki tersebut bersyukur apabila kontena itu diterima untuk diletakkan di Jabatan Forensik HTAR.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Kementerian Kesihatan sama ada Menteri, Ketua Setiausaha dan Pengarah HTAR kerana memudahkan urusan kami untuk membantu dalam sumbangan kontena tersebut untuk menyimpan mayat atau jenazah Covid-19,” jelasnya.
Pihak HTAR dalam kenyataannya di Facebook tersebut juga menzahirkan penghargaan kepada MIC di atas sokongan dan dokongan menyumbang kontena mayat itu dalam menguruskan pandemik Covid-19 di Klang khususnya.
Berita Penuh : https://www.kosmo.com.my/2021/07/12/kontena-mayat-di-htar/