Tular kilang banyak kes positif masih beroperasi, Polis sahkan kilang itu dapat kelulusan MITI

Tular kilang banyak kes positif masih beroperasi, Polis sahkan kilang itu dapat kelulusan MITI

Polis mengesahkan pengoperasian kilang penghasilan komponan semikonduktor di Meru Raya di sini mendapat kelulusan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pemeriksaan yang dilakukan ke atas premis itu pada Selasa mendapati, pengurusan kilang memiliki surat kebenaran beroperasi dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menurutnya, pengoperasian kilang itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih dikuatkuasakan juga didapati mematuhi SOP sektor perkilangan dan pembuatan.

“Polis mendapat maklumat mengenai pengoperasian kilang ini telah ditularkan di media sosial dan telah mendapat perhatian masyarakat umum.

“Bagi mengesahkan kesahihan maklumat tular itu, polis menjalankan operasi bersepadu melibatkan MITI dan Pejabat Kesihatan Daerah untuk membuat pemeriksaan pematuhan SOP di kilang itu hari ini (Selasa).

“Hasil pemeriksaan pasukan pemeriksa mendapati, pihak kilang mempunyai surat kelulusan operasi daripada MITI dan mematuhi SOP bagi sektor pengilangan dan pembuatan dikeluarkan MKN,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Sejak beberapa hari lalu tular di media sosial mengenai pertikaian beberapa pihak yang mendakwa kilang berkenaan masih kebal beroperasi meskipun merekodkan kes positif Covid-19.

Turut didakwa bahawa kilang terbabit sepatutnya tidak beroperasi kerana berada dalam kumpulan Perkhidmatan Bukan Keperluan Utama.

Mengulas lanjut Yahaya berkata, polis akan sentiasa memantau secara berterusan terhadap pengoperasian kilang itu dan kilang-kilang lain bagi memastikan SOP bagi sektor terlibat dipatuhi sepernuhnya.

Dalam masa sama, pihaknya menasihatkan orang awam agar tidak mengeluarkan komen tidak benar dan bersifat tohmahan tidak berasas melalui kaedah tular di media sosial.

“Ini bagi mengelakkan kegusaran kalangan masyarakat yang mana dikhuatiri akan menjejaskan reputasi kilang terbabit dan kredibiliti agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang berkaitan,” katanya.

Berita  Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/144415/BERITA/Semasa/Operasi-kilang-tular-dapat-kelulusan-MITI-MKN-Polis