Tukar nama JASA usaha kaburi mata rakyat

Tukar nama JASA usaha kaburi mata rakyat

Kerajaan hari ini didakwa cuba menutup kelemahan yang berlaku apabila peruntukan dalam Belanjawan 2021 kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) sebanyak RM 85.5 juta dengan penjenamaan baharu badan tersebut.

Menurut Penolong Setiausaha Parti Amanah Negara (AMANAH) Mahadzir Mat Zili berkata usaha kerajaan menamakan JASA dengan nama yang baharu sebagai J-Kom tidak menutup sebarang kelemahan yang berlaku.

Katanya, fungsi J-Kom dengan mewujudkan komunikasi dua hala ini boleh diusahakan oleh Jabatan Penerangan tanpa perlu menubuhkan badan yang baharu.

“Apa fungsi Jabatan Penerangan sekiranya kerajaan tidak berjaya memanfaat jabatan tersebut. Tidak perlu tubuh badan yang lain seperti J-Kom.

“Ternyata kerajaan hanya mahu berselindung di atas kelemahan yang berlaku sedang umum mengetahui JASA nama yang sebelum ini telah busuk kerana peruntukan yang tidak munasabah diberikan kepada badan itu.

“Peranan Jabatan Penerangan perlu dipertingkatkan bukan dengan membazir memberi kepada badan yang baharu. Dalam keadaan hari ini kita perlu berjimat cermat usah membazir kepada perkara yang tidak sepatutnya,” katanya ketika dihubungi.

Sehubungan dengan itu di Dewan Rakyat hari ini Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Saifuddin Abdullah telah mengumumkan penjenamaan baharu kepada JASA.

Menurut Saifuddin peranan J-Kom itu adalah untuk mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat.

Dalam pada itu, Mahadzir menambah usaha penjenamaan itu membawa maksud bahawa kerajaan sehingga setakat ini tidak akan meminda belanjawan yang dibentangkan.

“Ini adalah tanda bahawa tuntutan pelbagai pihak dibakul sampahkan. Ternyata jelas kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin (Tan Sri) tidak akan meminda belanjawan terbabit.

“Pastinya rakyat akan hampa dengan keputusan keras kepala kerajaan ini yang pastinya tidak akan memenangkan rakyat dalam belanjawan kali ini,” katanya lagi.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/jasa-usaha-kaburi-mata-rakyat-dengan-penjenamaan-semula/