Tuduhan MB Kedah kepada pemain JDT sebagai ‘samseng, kasta kayangan’ keterlaluan, kata exco Johor

Tuduhan MB Kedah kepada pemain JDT sebagai ‘samseng, kasta kayangan’ keterlaluan, kata exco Johor

Kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor bahawa pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) bermain ala samseng dan ‘macam kasta kayangan’ adalah keterlaluan dan tidak profesional.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, kenyataan itu tidak sepatutnya keluar daripada seorang pemimpin tertinggi peringkat negeri.

Katanya, setiap perkara yang berlaku pasti ada sebab dan ia perlu dilihat secara menyeluruh bagaimana ianya berlaku.

“Kenyataan JDT nampak kerek (berlagak) dan gedebe (samseng) amat ke­terlaluan ke­rana setiap pasukan mempunyai maruah, termasuklah JDT dan juga Kedah.

“Kalah dan menang adat perlawanan dan sebagai penyokong Harimau Selatan, kenyataan itu disifatkan sebagai tiada semangat kesukanan,” katanya semalam.
Katanya, kenyataan Muhammad Sanusi boleh menyinggung perasaan rakyat negeri ini.

“Janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” ujarnya mengulas kenyataan Muhammad Sanusi yang juga Pre­siden Persa­tuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Terdahulu, Muhammad Sanusi menyifatkan JDT beraksi ala samseng ketika menentang Kedah dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, kelmarin.

Beliau berkata, Harimau Selatan tidak menghormati tuan rumah biarpun bertandang ke tempat orang.

“Saya dapat satu kesimpulan iaitu JDT ini dia main ala ‘samseng’ sikit’, macam kasta kayangan. Tengoklah semalam ada satu insiden yang hampir berlaku pergaduhan di mana mereka datang kepada jurulatih serta pemain kita, dan buat-buat ‘cengei’ (Bengis)

“Dia datang stadium kita, kampung kita tapi dia tak hormat langsung kita. Kena ingat, orang Kedah ini buat tenggala (bajak) bendang dan memukul padi di bendang,” kata Muhamad Sanusi.

Berita penuh : https://www.utusan.com.my/sukan/2021/05/samseng-kasta-kayangan-tuduhan-keterlaluan/