Tuduh PH kerajaan komunis, Pemuda AMANAH buat laporan polis

Naib Ketua 1 Pemuda AMANAH Pulau Pinang, Mohd Farid Ismail (empat dari kiri) bersama pimpinan pemuda selepas membuat laporan polis.

Ketua Pemuda AMANAH Permatang Pauh, Mohd Farid Ismail bersama-sama dengan Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Permatang Pauh, Fahmi Zainol serta pimpinan pemuda kawasan telah membuat laporan polis terhadap fitnah serta tuduhan jahat ke atas kerajaan PH kini.

Menurut Farid, laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah, Bandar Perda semalam setelah terdapat video yang dimuat naik melalui media sosial oleh penama Ahmad Sharkawi Ishak yang melemparkan fitnah dan menuduh kerajaan PH adalah sebuah kerajaan komunis.

Malah katanya lagi, Pemuda AMANAH Permatang Pauh dengan tegas menyatakan bahawa sebarang tuduhan dan fitnah yang tidak berasas haruslah dikenakan tindakan dan juga hukuman yang berat.

“Kami menyarankan kerajaan supaya lebih peka dan senantiasa memantau semua saluran media bagi menghalang sebarang propaganda dan juga fitnah yang boleh menghancurkan perpaduan kaum.

“Ia juga diyakini boleh menimbulkan huru-hara kepada negara.

“Sehubungan itu Pemuda AMANAH Permatang Pauh menggesa kerajaan supaya lebih tegas dalam menangani perkara berkaitan berita palsu serta fitnah yang disebarkan melalui media sosial dan media massa,” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Naib Ketua 1 Pemuda AMANAH Pulau Pinang menyatakan perkara ini perlu dikawal agar rakyat mendapat berita yang benar dan tepat.

Ia turut berkata, sejajar dengan itu tindakan tersebut mampu untuk membendung persepsi negatif terhadap kerajaan PH.

Tambah Farid, pemantauan yang berterusan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media amat diperlukan bagi memastikan tularan secara berleluasa dan tidak bertanggungjawab gejala fitnah tersebut dapat dibendung.