Tubuh Majlis Persekutuan-Negeri : PM pengerusi, Ketua Pembangkang Timbalan

Presiden UPKO, Wilfred Madius Tangau mencadangkan penubuhan Majlis Persekutuan-Negeri untuk Memulihkan Ekonomi dan Kesihatan Rakyat yang membabitkan pelbagai pihak, termasuk pembangkang.

Ahli Parlimen Tuaran itu berkata, ia bertujuan menyelesaikan masalah dan kecelaruan dalam membuat serta melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) di pelbagai peringkat yang membabitkan kerajaan persekutuan, negeri, tempatan serta di kampung.

“Pada 19 Ogos lalu, saya menghantar beberapa usul kepada setiausaha Dewan Rakyat untuk dibahaskan semasa persidangan Parlimen yang dijadualkan September ini dan salah satu usul yang dicadangkan adalah penubuhan Majlis Persekutuan-Negeri untuk Memulihkan Ekonomi dan Kesihatan Rakyat.

Tubuh Majlis Persekutuan-Negeri : PM pengerusi, Ketua Pembangkang Timbalan

Wilfred Madius Tangau mencadangkan Majlis Persekutuan-Negeri dipengerusikan Perdana Menteri dan ketua pembangkang sebagai timbalannya, serta dianggotai menteri, Ahli Parlimen pembangkang dan Menteri Besar. (Gambar Bernama)

“Usul ini dibuat dengan kesedaran dan mengambil kira penderitaan rakyat yang kehilangan insan tersayang akibat Covid-19, kehilangan sumber pendapatan serta kesukaran meneruskan pembelajaran dan pengajaran dalam sistem persekolahan.

‘Usul ini juga diangkat memandangkan hakikat yang kita lihat sehingga kini dan telah terbukti struktur Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak dapat merangkumi secukupnya suara pembangkang persekutuan dan kerajaan negeri untuk membentuk muafakat rentas parti serta rentas kerajaan yang berkesan untuk menangani pemulihan ekonomi dan kesihatan,” katanya dalam sidang media maya.

Madius berkata, sekiranya ditubuhkan, majlis itu perlu dipengerusikan Perdana Menteri dan ketua pembangkang sebagai Timbalan Pengerusi.

Katanya, ia juga perlu dianggotai tiga kumpulan, iaitu sejumlah menteri, Ahli Parlimen pembangkang dan semua Ketua Menteri serta Menteri Besar.

“Majlis ini perlu menerima input profesional dan kepakaran daripada sektor ekonomi, perubatan dan pendidikan bersama pucuk pimpinan perkhidmatan awam, tentera dan polis.

“Majlis ini harus bermesyuarat setiap minggu sebelum mesyuarat Kabinet untuk menerima laporan dan mengambil tindakan atas perkara seperti pengangguran dan penutupan perniagaan, jangkitan, kemasukan hospital dan kematian akibat Covid-19, prestasi vaksinasi, pelaksanaan SOP, keadaan persekolahan dan prestasi sektor utama ekonomi.

“Kita juga mengambil maklum dasar dan SOP yang diperlukan untuk menangani Covid-19 mungkin tidak popular pada permulaan dan hanya boleh berjaya jika tanggungjawab politik ditanggung bersama semua parti politik dan kerajaan negeri sebagai ‘Team Malaysia’ untuk meyakinkan masyarakat.”

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/22/upko-cadang-tubuh-majlis-persekutuan-negeri/

BACA JUGA : Selesai rakam ucapan sulung untuk petang ini, PM tinggalkan Perdana Putra