Tuan Ibrahim pertahan tindakan Pas tidak mengadap Sultan hanya kerana terkhilaf

Tuan Ibrahim pertahan tindakan Pas tidak mengadap Sultan hanya kerana terkhilaf

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu akur terhadap keputusan Sultan Perak Sultan Muizzuddin Shah mengenai lantikan exco baru kerajaan negeri itu.

“Kerana yakin kestabilan kerajaan adalah keutamaan tuanku,” katanya pada satu kenyataan malam tadi.

Semalam Menteri Besar Perak yang baru, Saarani Mohamad berkata lantikan Adun daripada PAS sebagai exco kerajaan negeri bergantung kepada perkenan Sultan Perak.

Saarani berkata dia akan mencadangkan lima lagi nama Adun bagi mengisi 10 jawatan exco kepada Sultan Nazrin dalam masa terdekat.

Ini selepas lima exco mengangkat sumpah, kelmarin.

Menurut Tuan Ibrahim, PAS menyerahkan sepenuhnya soal lantikan exco itu kepada kebijaksanaan Sultan Nazrin.

“Tentunya akan ada pertambahan exco bagi melengkapkan urus tadbir kerajaan negeri,” katanya.

Menjelaskan mengenai sikap PAS dalam kemelut pertukaran pentadbiran di Perak sebelum ini, dia berkata dalam situasi sebegitu tidak hairan jika berlaku “salah faham dan silap maklumat.”

Apatah lagi, katanya ada golongan berkepentingan yang tidak dinamakannya “akan mengambil kesempatan.”

“Tidak timbul soal ‘derhaka’ atau tidak, kerana sesuatu kemelut politik harus dilihat secara menyeluruh bukan hanya sesuatu juzuk untuk membuat penilaian,” katanya.

Jelas Tuan Ibrahim lagi, mengurus kemelut yang berlaku memerlukan ruang tersendiri dan waktu yang sangat singkat.

Katanya, PAS melihat isu yang paling utama kemelut politik di Perak selesai hasil muafakat bersama Umno dan Bersatu.

Semalam, tiga Adun PAS Perak memohon ampun secara terbuka kepada Sultan Perak berikutan kegagalan mereka menghadap baginda pada Selasa lalu.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, dia dan dua Adun lain mengakui ‘kekhilafan’ mereka kerana tidak menghadap baginda sepertimana dititahkan.

Pada Selasa lalu, Sultan Nazrin Shah memanggil menghadap Adun Bersatu dan PAS ke Istana Kinta di Ipoh berikutan kemelut politik di negeri itu.

Hanya Adun Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, yang merupakan wakil rakyat dari Bersatu hadir ke istana negeri.

Bekas menteri besar Perak Ahmad Faizal Azumu pula berkata Bersatu tidak menerima titah untuk menghadap Sultan Nazrin berhubung isu pelantikan penggantinya.

Bagaimanapun, Anggota Dewan Negara Perak, Mohd Annuar Zaini berkata baginda telah menitahkan agar Adun Bersatu dan PAS datang mengadap bagi membuktikan calon menteri besar daripada Umno mendapat sokongan majoriti dalam Dun.

Faizal digulingkan sebagai menteri besar Perak pada Jumaat minggu lalu melalui undi percaya yang diusulkan oleh seorang Adun Umno.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/554884