Tragis !!! Ribut petir buatkan pokok hempap “rider” grab food hingga maut

Tragis !!! Ribut petir buatkan pokok  hempap “rider” grab food hingga maut

Seorang penghantar makanan GrabFood maut selepas dipercayai dihempap dahan pokok yang tumbang akibat ribut berhampiran Petronas Alam Damai, Cheras, di Kuala Lumpur, petang semalam.

Mangsa, Syed Izzat Izzudin berusia 20 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata kejadian berlaku pada kira-kira empat petang semalam, ketika mangsa sedang dalam perjalanan dari Jalan Damai Jasa menghala ke Taman Len Seng, di situ, sebelum dahan dari sebatang pokok secara tiba-tiba jatuh dan menghempap mangsa.

Rentetan kejadian itu, polis meminta bantuan pihak bomba untuk memotong dahan pokok berkenaan bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap di bawahnya.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi di semalam.

Sementara itu, berlaku kesesakan lalu lintas di sekitar ibu negara akibat beberapa lokasi dilanda banjir kilat dan kejadian pokok tumbang akibat hujan lebat, pada kira-kira 3.30 petang semalam.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Cheras ketika dihubungi berkata lokasi yang terjejas akibat pokok tumbang adalah di Petronas Alam Damai, Taman Len Sen di Cheras; Jalan 4/27A Seksyen 2 di Wangsa Maju; Jalan Pantai Murni di Pantai Dalam; Jalan Sultan Salahuddin di Kampung Padang Merbok; Jalan Melati dan Lebuhraya MRR2 di Hulu Klang.

Dalam pada itu, Pusat Pengurusan Pengangkutan Bersepadu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ketika dihubungi berkata kesesakan lalu lintas berlaku susulan banjir kilat, akibat hujan lebat.

Antara laluan yang terjejas ialah Jalan Cheras di hadapan Ekomall menghala ke Bulatan Billion dan kedua-dua arah jalan dari Bulatan Cheras ke Taman Maluri.

Bagaimanapun, takungan air di beberapa laluan mulai surut pada kira-kira 4.20 petang semalam.

Berita Penuh :https://m.malaysiakini.com/news/570903