Tragedi Gunung Jerai : Penduduk seru lebih ramai sukarelawan hadir bersih rumah

Penduduk

Tragedi Gunung Jerai : Penduduk seru lebih ramai sukarelawan hadir bersih rumah.Kebanjiran sukarelawan yang terdiri daripada kumpulan badan bukan kerajaan, syarikat dan parti politik yang turun bagi membantu penduduk yang terjejas ekoran kejadian kepala air di kaki Gunung Jerai dilihat sedikit sebanyak membantu meringankan ‘derita’ yang ditanggung mereka.

Tinjauan Astro AWANI mendapati kebanyakan penduduk menyambut baik insiatif yang diambil itu selain menzahirkan penghargaan buat mereka yang sanggup turun sendiri bagi melakukan kerja-kerja sukarela sejak 18 Ogos lalu.

Tambah mereka, apa yang diharapkan ketika ini adalah fokus sukarelawan terlibat dapat diarahkan kepada kerja-kerja pembersihan berbanding beberapa bantuan lain seperti bantuan makanan dan pakaian.

Ini kerana menurut mereka, masih banyak lagi rumah penduduk yang berada dalam keadaan dipenuhi lumpur yang ditinggalkan banjir lebih seminggu lalu yang masih belum dibersihkan sepenuhnya.
Menurut warga emas, Zaiton Abdullah, 67, dia bersendirian ketika kejadian itu berlaku.

Penduduk

“Banyak barang rosak, luar dan dalam, sebelum ini tak pernah berlaku, air terlampau deras sampai paras pinggang. Makcik pula tinggal sendirian, mujurlah anak saudara datang tolong tapi nak balik macam sebelum ini susah sikitlah,” jelasnya.

Bagi Zaharin Din, 44, pula, dia meminta pertolongan rakan-rakannya untuk membersihkan kawasan rumah.

“Masa air naik, selut penuh dalam rumah, jadi panggil kawan-kawan tolong cuci pinggan, barang dapur. Selesai bahagian dalam cuci bahagian luar pula,” katanya.

Sementara itu, bagi sukarelawan yang terlibat dalam proses membersihkan rumah penduduk menyatakan bahawa keadaan lumpur yang agak tebal menjadi antara cabaran terbesar sepanjang menyertai operasi sukarela kali ini.

Bagaimanapun, apa yang diharapkan adalah proses penyaluran bantuan melalui kerja pembersihan yang dilakukan dapat memanfaat seramai mungkin penduduk yang terlibat.

“Hari ini kami sudah siap bahagian stor, dulu stor ini penuh dengan lumut, lepas selesai bahagian stor kami akan buat bahagian longkang sebab bahagian longkang tertutup,” kata wakil Yayasan Sukarelawan Siswa, Adilah Ismail.

Untuk rekod kejadian kepala air yang berlaku di beberapa kawasan di kaki Gunung Jerai termasuk Yan, Gurun, dan Merbok telah mengakibatkan kerosakan kepada lebih 1,300 buah rumah penduduk di kawasan sekitar.

Bencana berkenaan juga telah mengorbankan enam nyawa yang turut memakan masa enam hari bagi proses mencari dan menyelamat mangsa yang hilang.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/bencana-gunung-jerai-penduduk-harap-lebih-ramai-sukarelawan-bantu-bersihkan-rumah-316455

BACA: Misteri ‘obor-obor’ terbang gemparkan penduduk